JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou sememangnya sukar digugat apabila meraih gelaran ke-13 berturut-turut, kali ini pada kejohanan Badminton Para Antarabangsa Thailand, di Pattaya, pada Sabtu.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang beraksi dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) lelaki itu, mengambil masa 36 minit untuk menundukkan seterunya dari Taiwan, Fang Jen-Yu 22-20, 21-15.
Liek Hou yang juga juara Sukan Para ASEAN ke-11 di Solo, Indonesia baru-baru ini, menyifatkan kejayaan diraihnya di Thailand sangat bermakna menjelang Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini.
Pemain dari Kuala Lumpur itu juga memaklumkan akan berehat sementara daripada sebarang pertandingan bagi menyiapkan diri untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Tokyo, November nanti.
"Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang mendukung saya selama ini.
Nasib baik ada pasukan sokongan daripada ISN (Institut Sukan Negara) menghantar abang fisio dengan pasukan supaya boleh mengurangkan kesakitan semasa pertandingan.
"Terima kasih juga kepada penaja yang sering menyokong saya pada setiap pertandingan,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara Muhammad Ikhwan Ramli, turut memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di Thailand apabila muncul juara kategori perseorangan lelaki WH 1 (kerusi roda) dengan menumpaskan pemain Korea Selatan, Jeong Jaegun 21-23, 21-16, 21-19. - Bernama