SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis menyatakan orang Melayu kini tidak lagi berasa malu untuk mengangkat ‘pencuri’ sebagai pemimpin.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, pada masa kini kebanyakan masyarakat tidak lagi berasa malu dan sanggup mengampu semata-mata untuk mendapatkan duit dan jawatan.
"Ada yang sampai cium tangan, kenapa cium tangan sebab boleh dapat duit dan boleh dapat jawatan. Apa nak malu.
"Kalau tangan berbau najis, tak apa dan ada duit dalam najis. Terbongkok-bongkoklah nak cium tangan. Apa nak malu, kalau tangan bersalut tahi tetapi ada duit, okay lah... tak payah malu.
"Ramai sungguh yang tak malu. Terkenal sebagai perasuah, apa nak malu. Jadi pencuri tak apa, tak perlu malu,” dalam catatan di laman Facebook pada Ahad.
Dr Mahathir menjelaskan antara kejayaan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terbesar adalah menjadikan orang Melayu tidak perlu berasa malu.
"Terima duit yang dicuri, tak malu. Minta duit percuma, tak malu dan tak bayar hutang tak malu.
"Pilih pencuri, perasuah, banduan sebagai Perdana Menteri, okay. Tak malu.
"Dunia ketawa terhadap negara Malaysia kerana tak malu dengan kelakuan yang memalu, tak malu,” jelasnya.
Dr Mahathir turut mempersoalkan masih ramai pihak yang masih menyokong Najib meskipun bekas Perdana Menteri ke-6 itu berdepan dengan beberapa pertuduhan rasuah.
"Tidak ada satu orang yang begitu berjaya menterbalikkan orang Melayu seperti Najib. Dahulu orang Melayu memandang rendah kepada orang yang mencuri.
"Mereka amat malu jika ada ahli keluarga terlibat dengan jenayah, mencuri dan sebagainya tetapi sekarang orang Melayu tidak lagi berasa malu. Apa nak malu.
"Najib menanam pendapat bahawa apa nak malu jika mencuri. Dia bos dan bos boleh mencuri, kalau bos tak malu kerana mencuri, orang Melayu pun tak perlu malu bila mencuri,” katanya.