JARINGAN penyamaan penyerang Everton, Demarai Gray pada minit ke-88 nyata menyelamatkan The Toffees daripada diaibkan di Goodison Park oleh pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest pada Sabtu.
Pengendali Everton, Frank Lampard menyifatkan jaringan pemain berkenaan nyata cukup berharga kerana memberikan mata pertama buat skuad kendaliannya pada saingan EPL musim ini.
"Akhirnya setelah kecewa pada dua perlawanan pertama kita berjaya meraih mata sulung musim ini.
"Walaupun hanya satu mata, tetapi ia ternyata cukup bernilai dan kita juga yakin untuk meraih lebih banyak mata pada perlawanan-perlawanan akan datang," katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Forest hampir membawa pulang tiga mata berharga apabila membuka jaringan menerusi Brennan Johnson pada minit ke-81 yang menyambar bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Everton.
Bagaimanapun, Gray kemudiannya memanfaatkan peluang di depan gawang Forest bagi menjaringkan gol penyamaan dan sekali gus memastikan The Toffees meraih mata sulung musim ini.
Untuk rekod, Everton tewas 0-1 kepada Chelsea pada aksi pembukaan EPL 7 Ogos lalu sebelum tewas 1-2 kepada Aston Villa pada 13 Ogos.
Mengulas mengenai perlawanan berkenaan Lampard berkata, Everton dilihat memiliki banyak peluang untuk meledak jaringan, namun gagal diterjemahkan.
"Sebenarnya, saya beranggapan bahawa Everton merupakan pemenang bagi perlawanan ini, namun jentera serangan pasukan gagal menjaringkan gol dalam tempoh 20 minit pertama. Jika tidak, sudah pasti keputusan perlawanan kali ini berbeza.
"Apa pun, mujurlah Gray berjaya menjaringkan gol penyamaan dan ia sudah cukup memadai," katanya.