BUKIT GANTANG - Pas menafikan dakwaan bahawa parti itu terdesak untuk bersama dengan UMNO bagi memastikan mereka kekal relevan.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya kekal dengan pendirian mahukan penyatuan parti-parti Melayu terutama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, penyatuan parti-parti Melayu penting demi masa depan generasi akan datang.
"Pada Pas, bukan untuk kepentingan politik Pas atau kepentingan politik saya sendiri sebagai orang dah tua, tapi kita fikir tentang politik generasi akan datang.
"Perpecahan kita ini akan memberikan keburukan kepada anak-anak kita. Kita fikir perjuangan akan datang. Kita tetap nak bertindak sebagai penyatu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jualan Amal di Markaz Pas Sungai Tinggi, Trong di sini pada Ahad.
Idris berkata, Pas sanggup melupakan sengketa dengan UMNO sebelum ini kerana mahukan penyatuan parti-parti Melayu.
Jelasnya, jika UMNO kekal dengan pendirian tidak mahukan penyatuan, mereka terpaksa berdepan pada pilihan raya akan datang.
Pada Sabtu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dalam satu kenyataan berkata, Pas seakan tidak mahu 'bercerai' dengan UMNO sebaliknya masih terus menagih simpati mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atas alasan penyatuan ummah supaya kekal relevan pada PRU15.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan Pas semakin terdesak dan mahu menumpang tuah UMNO setelah mereka merasakan kerjasama dengan Bersatu tiada harapan lagi.