GOL kedua jaringan Wilfried Zaha menerusi sepakan penalti pada minit ke-58 dilihat menjadi punca kepada kekalahan 1-3 Aston Villa kepada Cystal Palace di Sellhurst Park, pada Sabtu.
Perkara itu ditegaskan pengendali Villa, Steven Gerrard yang turut kecewa dengan keputusan pengadil dan video pembantu pengadil (VAR) yang memberikan sepakan penalti berkenaan.
"Sesetengah orang mungkin berkata, ia merupakan peraturan, tetapi bagi saya lebih kepada budi bicara pengadil.
"Selain itu saya melihat keputusan pengadil dibuat dengan tergesa-gesa dan akhirnya menyebabkan kami terpaksa menanggung kekalahan akibat keputusan berkenaan," katanya.
Untuk rekod, pada perlawanan berkenaan Aston Villa lebih dahulu membuka jaringan menerusi Ollie Watkins pada minit kelima, sebelum Zaha menyamakan kedudukan pada minit ketujuh.
Bagaimanapun, pengadil Andy Madley kemudian memberikan sepakan penalti kepada Crystal Palace setelah pemain Aston Villa, Lucas Digne dikatakan menampan bola dengan tangan hasil tandukan Marc Guehi pada minit ke-58.
Kesempatan itu tidak dipersia-siakan Zaha bagi menewaskan penjaga gol Aston Villa, Damian Emiliano Martinez untuk gol kedua tuan rumah sebelum pemain gantian, Jean-Philippe Mateta menjaringkan gol ketiga pada minit ke-71 bagi melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah.
Sementara itu pengendali Crystal Palace, Patrick Viera menyifatkan kemenangan berkenaan adalah hasil aksi terbaik yang dipamerkan skuad kendaliannya itu musim ini.
Justeru, Viera turut berharap skuad kendaliannya itu terus konsisten menghasilkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
"Saya benar-benar gembira atas persembahan dipamerkan pemain kali ini...Ia ternyata persembahan terbaik setakat ini.
"Bayangkanlah, dari minit pertama sehingga minit terakhir kesemua pemain beraksi dengan intensiti yang tinggi dan hasilnya kami mencatatkan kemenangan," katanya.