Ahmad Zahid perlu jawab dulu isu LCS, bukan desak PRU15

Iklan
Fahmi

KUALA LUMPUR - Gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan adalah tindakan pentingkan diri sendiri.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, belum masanya PRU15 diadakan ketika negara berdepan beberapa isu besar seperti projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dan keadaan ekonomi yang tidak stabil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Ahmad Zahid perlu memberikan penjelasan berhubung LCS terlebih dahulu sebelum mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PRU15.

"Beliau kena jawab kenapa tidak menerima teguran panglima TLDM (ketika itu) berhubung isu LCS dan bagaimana boleh menukar sistem Sigma ke jenis Gowind dalam tempoh dua bulan.

Iklan

"Sebelum beliau desak PRU, Ahmad Zahid perlu jelaskan isu LCS yang sekarang ini memberikan kesan negatif terhadap parti-parti yang pernah memerintah sebelum ini," katanya mengulas gesaan Ahmad Zahid untuk menyegerakan PRU15.

Fahmi ditemui pada Program Jualan Amal Prihatin Rakyat, Ayam Segar Bersih di Dewan Persatuan Penduduk Flat Seri Pahang di sini pada Ahad.

Iklan
Fahmi (kanan) pada Program Jualan Amal Prihatin Rakyat, Ayam Segar Bersih di Dewan Persatuan Penduduk Flat Seri Pahang di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menerusi kenyataan pada Sabtu berkata, tindakan melengahkan PRU memberi senjata kepada musuh untuk terus menyerang.

Fahmi berkata, mana-mana pihak tidak perlu membuat desakan PRU kerana yakin rakyat akan membuat pilihan yang terbaik buat mereka apabila tiba masa.

"Kalau dilihat dari segi ekonomi, rakyat belum bersedia. Ramai yang datang memohon bantuan.

"Sekarang ada beberapa kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam, rakyat mahu isu tersebut diselesaikan terlebih dahulu.

"Jadi bagi saya, siapa yang nak PRU diadakan sekarang adalah mereka yang pentingkan diri sendiri.

"Jadi kita jangan cuba untuk mendahului kerana akan menimbulkan persepsi bahawa panggilan untuk PRU ini sebagai usaha cuba mengeluarkan sesiapa dalam keadaan sempit," katanya.

Pada program itu, sebanyak 250 ekor ayam dijual kepada penduduk Flat Seri Pahang dengan harga RM8 seekor.

Sebanyak 6,000 ekor ayam akan dijual pada harga itu di sekitar Lembah Pantai secara berfasa dalam usaha membantu rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos harga barangan.