ALOR SETAR - Kementerian Sumber Manusia (KSN) belum menerima sebarang permohonan untuk perlaksanaan waktu kerja empat setengah hari di Johor.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara ini kepada kerajaan Johor untuk membuat keputusan.
Awang berkata, secara rasminya, kementerian tidak menerima sebarang aduan, persetujuan ataupun libat urus untuk pengurangan waktu bekerja empat hari setengah seminggu.
"Belum ada. Itu terpulang pada negeri Johor. Secara rasminya, di peringkat nasional ini kita belum mendapat atau menerima memo cadangan, bantahan dan sebagainya.
"Jadi buat masa ini, tiada (cadangan) di peringkat negara untuk melaksanakan perkara ini. Itu peringkat negeri Johor lah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Johor mungkin akan mengisytiharkan waktu bekerja kepada empat hari setengah seminggu.
Beliau berkata sedemikian selepas Program Libat Urus Sekolahku Sejahtera-Pemerkasaan Pentaksiran Psikometrik dan Halatuju Kerjaya Murid Kedah 2022 di Dewan Al-Farabi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan bahawa Johor bakal mengumumkan waktu bekerja empat hari setengah dengan cuti pada Sabtu dan Ahad, manakala Jumaat dikira separuh hari bekerja.
Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan, kementerian akan mengumumkan keputusan pelaksanaan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu tidak lama nanti.
Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam telah diluluskan sebulat suara dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum ini.
"Jadi, kita tunggulah akan diumumkan Menteri (Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan) di peringkat perlaksanaan,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai reaksi majikan tentang pengurangan waktu bekerja itu, Awang menjelaskan, setakat ini, semua berjalan lancar selepas libat urus dilakukan memandangkan ia melibatkan seluruh pekerja.