Tujuh negara baharu sertai Tilawah al-Quran

Iklan
- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 selama enam hari mulai 15 April ini akan disertai 70 negara termasuk tujuh negara yang menyertainya buat pertama kali.

Tujuh negara baharu itu ialah Azerbaijan, Montenegro, Kenya, Ivory Coast, Sweden, Norway dan Austria.

Iklan
Iklan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penyertaan tujuh negara termasuk negara-negara bukan Islam itu membuktikan kerajaan komited dalam membawa mesej keamanan kepada dunia.

"Kita juga mahu meningkatkan syiar Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam dengan membawa mesej keamanan dan kemakmuran,” katanya pada sidang akhbar prapelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata sejumlah 106 peserta iaitu 59 bertanding dalam kategori tilawah dan 47 peserta hafazan menyertai tilawah tahun ini yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

Malaysia akan diwakili johan peringkat kebangsaan tahun ini iaitu Abdul Khair Jalil dari Selangor dan Farhatul Fairuzah Panut dari Negeri Sembilan untuk kategori tilawah al-Quran manakala Abdullah Ulwan Ismail dari Kelantan dan Raudah Abdul Razak dari Kedah bagi kategori hafazan.

Iklan

Beliau berkata sejumlah 14 juri dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Singapura dan Brunei akan terlibat dalam majlis tilawah itu.

Johan bagi kategori Tilawah al-Quran akan membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan dan wang tunai RM40,000 manakala bagi kategori Menghafaz al-Quran pula, johan lelaki dan wanita masing-masing akan menerima kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan YaPEIM, piala iringan, dan wang tunai RM25,000.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dijadual dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Bernama