SEREMBAN - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pendukung perjuangan parti itu supaya tidak melupakan sejarah bagi memastikan perkara yang sama tidak diulangi.
Sambil memetik ungkapan novelis dan ahli falsafah George Santayana, beliau turut berharap peristiwa sejarah terdahulu dapat menguatkan penyokong parti itu.
"Keangkuhan dan kebobrokan berjaya dihentikan. Ungkapan novelis dan filasuf George Santayana bahawa 'mereka yang melupakan sejarah, akan cenderung mengulanginya'.
"Ia ternyata sesuatu yang harus digarap dan ditanggapi semua pendukung keadilan dan kebenaran agar sejarah yang lalu itu menguatkan kita," katanya dalam perutusan sempena ulang tahun parti PKR ke-20 yang jatuh pada hari ini, di akaun Facebooknya.
Beliau berkata tarikh ini bermakna bagi pendukung perubahan dan reformasi kerana pada tarikh inilah pada 20 tahun lalu parti PKR diwujudkan.
"Tidak dinafikan bahawa derita dan jerih payah yang ditanggung pada masa lalu, bukan sahaja bagi pihak saya dan keluarga, malah rakyat terbanyak terutamanya, yang terus matang dan setia mendukung dan memungkinkan perubahan yang kita kecapi hari ini.
"Benar, usaha dan upaya kita ini tidak terhenti di sini. Malah, ia harus dan wajar diterjemahkan dalam usaha mendirikan semula negara ini yang telah dicurangi sekian lama.
"Marilah kita rapatkan muafakat dan perkemaskan iltizam dalam usaha menyelenggara semula negara ini dan menyikapi permasalahan rakyat dengan serius," katanya.
Pada ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sedang berlangsung sekarang, PKR turut dijadual akan mengadakan doa selamat dan bacaan Yassin di sini, malam ini sempena ulang tahun itu. - Bernama