Pemain industri kreatif turut serta perangi rasuah

Iklan
Risiko rasuah turut menjadi topik perbualan dalam kalangan penggiat dan profesional industri kreatif tempatan. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Sejak kebelakangan ini, risiko rasuah turut menjadi topik perbualan dalam kalangan penggiat dan profesional industri kreatif tempatan.

Prihatin mengenai perkembangan itu, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri (JPM), bersama sekumpulan penyelidik dari Universiti Multimedia (MMU) menjalankan kajian mengenai risiko rasuah dalam industri kreatif negara.

Iklan
Iklan

Dapatan kajian tersebut mengumpulkan pandangan serta maklum balas pengamal dan profesional industri kreatif tempatan yang berkecimpung dalam penghasilan kandungan kreatif seperti filem dan drama televisyen, tele-filem, radio, animasi, pengiklanan, penerbitan dalam talian, rakaman muzik dan subsektor media baharu.

"Melalui sesi perkongsian dan maklum balas yang diterima, pihak berkepentingan industri kreatif tempatan bersama untuk memperkemaskan strategi dan pendekatan terkini untuk meminimumkan risiko rasuah dari segi pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan," menurut hasil kajian itu yang dikongsi melalui Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan tahun 2022 di Putrajaya.

Iklan

Beberapa cadangan dikemukakan menerusi dapatan berkenaan, antaranya penggunaan meluas teknologi digital untuk menguruskan risiko rasuah telah dilaksanakan oleh pihak berkepentingan industri kreatif dengan penyediaan pangkalan data menggunakan teknologi data besar dan kecerdasan buatan.

"Seterusnya, teknologi digital akan membantu pihak berkepentingan membezakan antara pemohon yang boleh dipercayai daripada pemohon yang mempunyai rekod prestasi lampau, sebelum kelulusan geran atau dana diberikan," jelas dapatan itu.

Iklan

Dalam pada itu, cadangan penyelidikan kepada pihak berkepentingan untuk memperkemas pengagihan slot tayangan melalui badan penyiaran turut mendapat maklum balas positif dengan penggunaan prosedur operasi standard yang ditambah baik bagi memastikan ketelusan dan integriti pembahagian slot.

"Sebagai tambahan kepada saranan untuk menyemak semula kadar pembayaran hasil kreatif oleh badan-badan penyiaran selaras dengan perubahan kos, kajian tersebut juga mencadangkan mekanisme slot penggantian apabila badan penyiaran menayangkan kandungan kreatif asing atau hasil kreatif penerbit asing.

"Terdapat juga keperluan untuk menyelaraskan dengan jelas dana dan slot tayangan saringan seperti pengenalan klasifikasi penerbit baharu, penerbit muda, penerbit bereputasi dan penerbit berpotensi," menurut kajian itu.

Sementara itu, dari segi pendidikan, satu siri latihan etika yang berstruktur dan sistematik telah dicadangkan untuk memastikan penggiat dan profesional industri kreatif tempatan sejajar dengan pihak berkepentingan yang lain dalam mendepani risiko rasuah.

"Keperluan kelayakan seperti mata atau jam latihan etika minimum telah diangkat untuk dipertimbangkan oleh pihak berkepentingan sebelum sebarang kelulusan dana, geran dan slot tayangan diberikan.

"Modul literasi undang-undang yang berkaitan dengan antirasuah seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 harus diperluaskan dalam kalangan penggiat dan profesional industri kreatif sebagai sebahagian daripada syarat pembaharuan atau pemberian lesen," jelasnya.

Dari segi penguatkuasaan, adalah menjadi harapan semua pihak agar hukuman lebih tegas boleh dikenakan terhadap pesalah rasuah.

"Bagi membolehkan penyiasatan menyeluruh, pendakwaan dan penguatkuasaan undang-undang, adalah penting untuk aktivis dan profesional industri kreatif berperanan aktif dan mempunyai keberanian moral untuk tampil dengan bukti atau keterangan yang jelas untuk menghukum pelaku rasuah.

"Di samping itu, secara pentadbiran, penting untuk pihak berpentingan dalam industri kreatif mengambil pendirian tegas terhadap penggiat serta profesional yang gagal memenuhi standard yang dikehendaki serta tidak mencapai objektif program atau dasar yang direncanakan," jelasnya lagi.