PENGENDALI UiTM FC, Ismail Ibrahim mengakui ketiadaan 'penggempur' di jentera serangan pasukan menyebabkan skuad kendaliannya itu gagal menjaringkan lebih banyak gol, pada aksi Liga Premier berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.
Menurutnya, ketiadaan berkenaan bagaimanapun berjaya diatasi dengan aksi mantap dipamerkan kesebelasan UiTM FC di sepanjang perlawanan biarpun tumpas 1-2 kepada tuan rumah.
"Bagaimanapun kekurangan kita, tak ada pemain yang boleh jaringkan gol macam kita juga pemain import.
"Oleh itu, apa yang ada kita gunakan supaya pemain bersungguh-sungguh nak main..ada matlamat dan kita dapat ke sini bukan nak enjoy, sekurang-kurangnya kita berjaya memberikan tentang sengit," katanya.
Pada perlawanan itu, Kuching City menjaringkan gol menerusi penyerang utama mereka, Abu Kamara pada minit ke-49, (min-74) sebelum pemain gantian UiTM FC, Amir Adha Latif merapatkan jurang gol menerusi jaringan pada minit ke-78.
Kekalahan berkenaan menyaksikan UiTM FC terus berada di kedudukan ketujuh dengan 14 mata hasil empat kemenangan, dua seri dan tewas 10 kali daripada 16 perlawanan setakat ini.
Manakala Kuching City FC semakin mengukuhkan cengkaman pada kedudukan keempat dengan meraih 27 mata hasil lapan kemenangan, tiga seri dan tewas empat kali daripada 15 perlawanan.
Sementara itu, pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui skuad UiTM FC bukannya skuad yang pernah ditemui sebelum ini.
Katanya, skuad UiTM FC juga mempamerkan aksi berbeza pada setiap babak dengan lebih kerap mengasak ke gawang tuan rumah bagi menjaringkan gol.
"Malam ini kita mian dengan team UiTM FC yang bukan seperti sebelum ini, mereka nak curi mata untuk layak ke Piala Malaysia," katanya.