KUALA TERENGGANU - Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Rosol Wahid yakin pengundi muda lebih mengutamakan latar belakang calon bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukan hanya bersandarkan parti.
Katanya, ia berdasarkan momentum yang berlaku pada masa ini dan hasil kajian dijalankan terhadap corak pemilihan pengundi muda pada PRU15.
"Saya berpendapat pengundi baru ni tidak memilih parti kerana rata-rata saya lihat dan kajian kita buat pun orang muda hari ini tidak pilih parti.
"Mereka memilih siapa akan bertanding. Misalnya, ada calon hanya ada kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan pengundi mahu undi yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Rosol berkata demikian ketika diminta mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau mungkin sukar mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Terengganu sekiranya bertanding pada PRU15 ekoran kemarahan rakyat atas tindakannya meninggalkan UMNO.
Beliau dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 bagaimanapun menyangkal kenyataan itu kerana baginya corak pemikiran generasi X, Y dan Z sudah berbeza.
"Mereka (generasi muda) mahu mengundi calon yang boleh membela mereka dan bawa aspirasi orang muda, bukan hanya mahu memenangkan parti.
"Mereka mahukan aspirasi sebuah negara aman, tenteram, tiada kleptokrasi dan tiada rasuah dapat direalisasikan," ujar Rosol.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, nama Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu sudah diserahkan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15.
Pada PRU14 lalu, Rosol yang bertanding atas tiket BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan Razali yang merupakan calon PKR ketika itu.