Penjawat awam diseru jadi ejen Keluarga Malaysia: KSN

Iklan
Mohd Zuki (tengah) bergambar bersama para peserta ketika menghadiri majlis penutup program Simposium Keluarga Malaysia 'Pencapaian dan Harapan' di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Penjawat awam di negara ini diseru untuk menjadi ejen yang bertindak sebagai suara kerajaan kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia berikutan isu berkaitan kelemahan dan keburukan lebih mudah disensasikan di media ketika ini, berbanding kebaikan dan manfaat yang ditawarkan.

Iklan
Iklan

"Tetapi, kenapa tidak kita hebahkan perkara-perkara yang baik dalam kalangan kita, seperti dalam media sosial, perbualan seharian, komunikasi dengan pihak lain dan sebagainya.

"Kita tidak menafikan akan terdapat kelemahan, namun sebenarnya banyak pencapaian yang telah kita capai sepanjang setahun ini,” katanya dalam ucapan penutup Simposium Keluarga Malaysia, pada Ahad.

Iklan

Sebagai contoh, beliau memetik mengenai usaha kerajaan untuk menstabilkan harga makanan seperti harga ayam dan minyak masak, yang dilaksanakan baru-baru ini.

"Semasa harga barangan meningkat, semua pihak bertanyakan apakah usaha kita untuk menurunkannya. Banyak pihak yang menghentam dan mengkritik kita.

Iklan

"Namun, bila langkah intervensi telah kita buat melalui pelbagai mekanisme seperti Pasukan Jihad Tangani Inflasi dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara, tidak ramai yang bercakap mengenainya,” katanya.

Mengenai majlis pada Ahad, Mohd Zuki mencadangkan agar simposium itu melihat dan meneliti semula langkah hadapan, bagi usaha untuk terus memakmurkan negara serta mengekalkan kestabilan dalam acuan dan semangat Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, segala input yang diberikan oleh pakar yang terlibat dalam simposium itu hendaklah dianalisis, dicerna dan didokumentasikan sebaiknya, untuk langkah ke hadapan yang bersesuaian dengan iltizam kerajaan.

Selain itu, katanya, segala intipati dan hasil simposium itu diharap dapat dibentangkan dalam forum rasmi antara pegawai kanan kerajaan seperti Mesyuarat Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan akan datang.

Simposium Keluarga Malaysia bertujuan menyenaraikan serta menjelaskan segala pencapaian dan cabaran pentadbiran Keluarga Malaysia, sepanjang tempoh satu tahun lepas. - Bernama