SHAH ALAM - Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus menempelak kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Callistus berkata, isu perkauman sering digunakan sebagai modal politik oleh parti tertentu untuk meraih sokongan rakyat.
"Ancaman pertumpahan darah perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya ia berlaku dalam kes lain, adakah ia akan diterima?" katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu Abdul Hadi menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Callistus menambah, kenyataan Abdul Hadi mengenai rasuah di peringkat akar umbi perlu dibanteras adalah tepat.
"Dengan cara tersendiri, Abdul Hadi ada betulnya menyatakan bahawa akar umbi rasuah perlu dibanteras.
"Mengenai mengapa rasuah menjadi sistemik di negara ini, Abdul Hadi dan sekutunya hanya perlu melihat cermin untuk mendapatkan jawapan,” jelasnya.
Sementara itu, Callistus menjelaskan badan kehakiman perlu mencari kekuatan dengan sokongan rakyat jelata di negara ini bagi menentang sebarang campur tangan selain memainkan peranan yang sepatutnya tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Ujarnya, kelas perniagaan dan politik di Malaysia telah lama berusaha untuk mengawal badan kehakiman demi memenuhi kepentingan sendiri.
"Ini telah berjaya dalam banyak keadaan dan rakyat biasa di negara ini akhirnya membayar harga yang tinggi.
"Lebih mengejutkan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyokongnya berniat untuk merampas dan mengalih proses kehakiman melibatkan dakwaan rasuah terhadap beliau.
"Tekanan dikenakan ke atas mahkamah supaya membatalkan keputusan bersalah yang terdahulu adalah tindakan terakhir dan terdesak daripada pihak mereka,” katanya.
Callistus menambah, Najib dan dan semua ahli politik yang lain perlu tertakluk kepada kedaulatan undang-undang sebagaimana semua rakyat Malaysia lain.