LANGKAH Perak FC di laman sendiri sumbang apabila gagal menumpaskan Skuad Projek FAM-MSN saingan Liga Premier di Stadium Perak, di Ipoh pada Ahad.
Tewas 3-1 di tangan lawan yang tidak mempunyai sebarang pemain import nyata menghampakan penyokong yang mengharapkan kemenangan.
Minit awal perlawanan tuan rumah menguasai permainan dengan mencipta beberapa peluang namun gagal menembusi gawang gol.
Antara peluang yang dicipta pada minit ke-3 menerusi tandukan pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin namun tersasar.
Bagaimanapun Perak FC berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-6 menerusi jaringan Stipe Plazibat yang tenang menewaskan penjaga gol lawan, Aizat Aiman Mazlan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pelawat menyusun gerak dengan membuat beberapa percubaan yang ke arah gawang Perak FC.
Minit ke-30, Skuad Projek FAM-MSN berpeluang menyamakan kedudukan namun rembatan Muhammad Harith Najwan di hadapan pintu gol melambung keluar.
Perak FC kemudiannya dihukum dengan jaringan penyamaan pada minit ke-41 menerusi rembatan Amirul Akmal Safarinizam.
Perlawanan separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan kekal terikat 1-1.
Bersambung babak kedua, Perak FC membuat pertukaran dua pemain dengan memasukkan Ferris Danial Mat Nasir dan K Pavithran bagi menggantikan Khairul Asyraf Ramli dan Hafiz Ramdan.
Kehadiran dua tonggak baharu bagaimanapun tidak cukup untuk menambah sengat jentera serangan Perak FC apabila mereka terus diasak pasukan lawan.
Beberapa kesilapan anak buah Yusri Che Lah membuka ruang kepada Skuad Projek FAM-MSN melancarkan beberapa serangan ke kubu tuan rumah.
Hasilnya pada minit ke-56 pemain Skuad Projek FAM-MSN, Izzat Zikri Iziruddin menambah jaringan seterusnya mendahului 2-1.
Tidak cukup dengan itu, Perak FC sekali lagi dihukum menerusi jaringan selang lima minit berikutnya oleh Farris Izdiham yang menewaskan penjaga gawang, Ahmad Syazwan Syazany.
Ketinggalan 1-3, Perak FC cuba bangkit menerusi beberapa gerakan ke kubu lawan namun buntu mencipta jaringan.
Tamat perlawanan menyaksikan Perak tumpas 1-3 di tangan Skuad Projek FAM-MSN di Ipoh.
Dengan keputusan itu menyaksikan Perak FC tidak berpeluang untuk menyertai Piala Malaysia manakala Skuad Projek FAM-MSN berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Premier
Tamat