KELANTAN FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu apabila sekadar melakar keputusan seri 2-2 ketika melayan kunjungan Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Premier, pada Ahad.
Anak-anak buah Rezal Zambery Yahya bermula garang apabila terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Nurshamil Abd Ghani pada minit kelima perlawanan.
The Red Warriors (TRW) kemudian melebarkan jaringan menerusi Dzulfahmi Abdul Hadi untuk menjadi kedudukan 2-0.
Dua gol itu ternyata tidak melunturkan semangat juang para pemain Badrul Afzan Razali apabila feeder club TFC tersebut kembali menyusun langkah mengasak kubu tuan rumah.
Skuad Penyu kemudian memanfaatkan kealpaan pemain TRW apabila Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali merapatkan jaringan pada minit ke-33.
Gol itu ternyata menyuntik semangat pemain pelawat apabila sekali lagi Wan Mohamad Fazli muncul watak penting apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-39.
LIGA PREMIER
Kelantan FC 2-2 TFC II
Perak FC 1-3 Skuad Projek FAM-MSN
PDRM FC 0-3 JDT II