WALAUPUN tarikh 31 Ogos sudah semakin hampir, program pengisian bulan kemerdekaan di negara ini dilihat kurang meriah.
Mungkin kerana cara sambutannya tidak relevan dengan peredaran zaman.
Sepanjang 65 tahun negara merdeka, pengisian sambutan setiap tahun hampir sama dan mengulangi apa yang pernah dibuat tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan, namun segelintir rakyat langsung tidak ambil tahu mengenai bulan kemerdekaan.
Bagi mereka, tarikh 31 Ogos hanyalah hari cuti umum untuk bersantai di rumah.
Hanya segelintir yang teruja untuk mengisi hari tersebut dengan aktiviti sambutan kemerdekaan.
Melihat kepada perkara ini, lebih banyak usaha perlu diambil kerajaan menerusi kementerian terlibat untuk menanamkan semangat peka terhadap kemerdekaan negara, sekali gus menghayati erti sebenar bulan kemerdekaan.
Bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu patriotik beramai-ramai, sebaliknya kerajaan diharap dapat merangka program yang baharu, lebih dinamik serta relevan dengan zaman kini.
Antara yang boleh dilakukan kerajaan ialah menerusi agensinya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menghasilkan banyak filem atau dokumentari yang mengangkat tokoh perjuangan kemerdekaan.
Tidak dinafikan, pada masa kini karya filem mempunyai pengaruh dan tarikan yang kuat serta mampu mencorakkan tingkah laku dan emosi masyarakat.
Menerusi filem juga dapat menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada orang ramai dengan lebih terperinci selain boleh menyentuh emosi bagaimana sukarnya orang zaman dahulu memperjuangkan kemerdekaan negara.
Dengan mengangkat tokoh pahlawan kemerdekaan ini di layar perak, secara tidak langsung menyemai semangat jati diri dalam masyarakat pada hari ini.
Kita mahu sejarah kemerdekaan dan detik 31 Ogos 1957 terus dikenang dan sentiasa dinanti-nantikan rakyat Malaysia untuk disambut dengan meriah pada setiap tahun.