SEREMBAN - Selepas lima hari 'menghilangkan diri', calon Bebas PRK DUN Rantau, Mohd Nor Yassin muncul memperkenalkan manifestonya.
Menggunakan slogan 'meneruskan agenda perjuangan Mursyidul Am Pas Tuan Guru Nik Abdul Aziz', bekas pensyarah itu membawa misi membangun Rantau bersama Islam, kebajikan rakyat diutamakan, suara rakyat suara saya, membangunkan insan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dan perpaduan kaum.
Menurutnya, beliau memilih untuk meneruskan agenda perjuangan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana untuk menyampaikan mesej tentang kepimpinan Islam.
"Tok guru itu bukan parti, tapi pemimpin yang sangat kuat berpegang pada Islam dan itu yang ingin dicontohi.
"Saya bukannya ikut parti tapi cara kepimpinan yang ditonjolkan," katanya ketika ditemui di Markasnya di Kampung Sega Hilir di sini, hari ini.
Beliau juga menafikan tindakannya bertanding Bebas adalah untuk memecah undi Melayu dan tidak ambil berat menang atau kalah.
Katanya paling penting adalah kebenaran perlu diserlahkan di Rantau.
"Saya ingatkan ada rakan dari Pas yang bertanding, tapi mereka tak bertanding dan bersama dengan kumpulan yang mereka bantah dulu," katanya.
Selain itu katanya, sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi, sesiapa pun berhak untuk bertanding tetapi, bergerak atas tiket Bebas adalah lebih mudah.
"Saya sekarang calon Bebas dan tidak terikat dengan sesiapa. Kalau saya bercakap hal-hal terikat dengan saya, saya tak boleh bertanding.
"Bebas ertinya Bebas dan ruang ini mengangkat generasi akan datang bebas dan berani ke depan," katanya.
Berkenaan 'kehilangannya', beliau berkata, sebagai calon Bebas, beliau mempunyai kekangan terutama faktor kewangan untuk buat persiapan.
"Saya Bebas, pengikut belum ramai dan dalam proses nak cari seramai boleh. Itu 'limit' dia dan persiapan belum sampai ke maksimum.
"Lagipun kita bukan kaya, kita tak banyak duit," katanya.