SELAYANG - Operasi Bersepadu Penjaja Warga Asing di hadapan NSK di sini oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam semalam bertukar kecoh selepas terdapat pihak tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan.
Seorang lelaki berusia 40-an yang bertindak sebagai orang tengah mempertikaikan tindakan rampasan barang oleh penguat kuasa MPS yang didakwa dijalankan tanpa sebarang notis.
Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Juhari Ahmad yang mengetuai operasi itu mempertahankan tindakan penguatkuasaan itu.
"Apabila kita buat operasi memang ada dalam kalangan peniaga kata mereka mempunyai lesen dan permit.
"Tetapi, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada permit rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan berlakunya kebocoran maklumat semasa operasi dijalankan bermula jam 8.30 malam itu.
"Umum sedia maklum kawasan Selayang Utara ini sememangnya menjadi lokasi perniagaan warga asing.
"Tiada peniaga warga asing di lokasi sewaktu operasi disebabkan mereka terlebih dahulu ternampak kehadiran van penguat kuasa tiba menyebabkan mereka lari," katanya.
Tambahnya, tiada PBT yang boleh mengeluarkan kebenaran niaga atau permit kepada warga asing.
"Namun, tangkapan ke atas warga asing adalah di bawah imigresen dan kita teruskan penguatkuasaan dengan rampasan jualan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan," katanya.
Seramai 153 anggota terdiri anggota MPS, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlibat dalam operasi itu.