Kadar pinjaman dikurangkan susulan dasar ketat Covid-19

Iklan
Bank Rakyat China mengurangkan kadar pinjaman bagi merancakkan semula sektor ekonomi di negara itu. - Foto Xinhua


BEIJING - Bank Rakyat China pada Isnin mengurangkan kadar pinjaman penanda arasnya dalam usaha negara itu untuk meningkatkan ekonomi yang terjejas disebabkan oleh dasar ketat sifar Covid-19 dan kemerosotan dalam pasaran hartanah di negara tersebut.

Kadar Perdana Pinjaman setahun yang berfungsi sebagai penanda aras bagi pinjaman korporat dikurangkan daripada 3.7 peratus kepada 3.65 peratus, kata Bank Rakyat China dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, kadar yang digunakan untuk menetapkan harga gadai janji dikurangkan daripada 4.45 peratus kepada 4.3 peratus, tambahnya.

Penganalisis telah menjangkakan pengurangan kadar itu tetapi berkata, ia mungkin tidak mencukupi untuk menyelamatkan sektor hartanah yang dianggarkan menyumbang sebanyak satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar China.

Pasaran perumahan China digegarkan oleh pembeli rumah yang kecewa di berpuluh-puluh bandar bertindak memboikot pembayaran gadai janji.

Ia berlaku kerana pemaju-pemaju yang mengalami masalah kekurangan wang bergelut untuk menyiapkan unit kediaman masing-masing selepas mereka terlebih dahulu menjualnya kepada pembeli. - Agensi