SHAH ALAM - Pertemuan segera dan mustahak.
Itu mesej dipercayai dihantar oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan kepada ahli parti itu pada jam 11 malam Ahad.
Justeru, Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur sekali lagi bakal menjadi perhatian dan difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar dengan Ketua-Ketua Bahagian UMNO bermula jam 11 pagi tadi.
Menurut mesej berkenaan, pertemuan khas itu berkenaan masa depan parti.
"Datuk Seri Presiden dan Timbalan Presiden UMNO meminta agar Ketua-ketua UMNO Bahagian hadir ke satu pertemuan khas berhubung satu perkara yang sangat penting demi masa depan parti yang mesti disegerakan," menurut mesej tersebut.
Difahamkan lebih 100 pimpinan UMNO menghadiri mesyuarat tergempar ini.
Media difahamkan mesyuarat berlangsung kira-kira jam 11 pagi dan selepas itu tidak pasti sama ada akan diadakan sidang media atau tidak.