Hoe Yean, Yong Qi Olahragawan, Olahragawati SUKIPT 2022

Iklan
Hoe Yean (kanan dan Yong Qi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2022.

KEJAYAAN meraih 11 pingat emas dan satu perak menyaksikan perenang Universiti UCSI, Khiew Hoe Yean dinobatkan Olahragawan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 yang melabuh tirai secara rasmi pada Ahad.

Perenang berusia 20 tahun itu sebelum ini dinobatkan sebagai ‘raja kolam renang’ apabila meraih lapan pingat emas individu selain turut membantu UCSI meraih tiga emas dalam acara berpasukan.

Iklan
Iklan

Bagi Hoe Yean yang juga perenang kebangsaan, gelaran itu menjadi pencetus semangat menghadapi kejohanan akan datang terutama memburu pingat emas pada temasya Sukan SEA Kemboja 2022.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi banyak pingat emas buat UCSI, apatah lagi untuk dinobatkan sebagai olahragawan.

Iklan

"Selain meraih pingat emas di sini, saingan untuk merebut gelaran olahragawan cukup sengit dan saya cukup teruja dapat bersaing dengan atlet terbaik dari universiti lain.

"Selepas ini saya akan meneruskan latihan dan mahu berusaha lebih keras terutama persiapan menjelang Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti,” katanya.

Iklan

Hoe Yean menepati ramalan selaku ‘raja kolam’ SUKIPT 2022 apabila memenangi empat lagi pingat emas pada hari terakhir Sabtu sekali gus membantu UCSI muncul juara acara renang dengan 15 pingat emas keseluruhan.

Hoe Yean yang menyertai lima acara pada Sabtu memenangi emas dalam 400m gaya bebas, 50m kuak lentang, 100m gaya bebas dan 4x100m gaya bebas untuk meraih 11 pingat emas sepanjang tiga hari di Kolam Renang Sultan Azlan Shah.

Pada hari pertama, perenang UCSI itu membuka kilauan pingat emas dengan memecahkan rekod kejohanan dalam acara 400m individu medley selain mengungguli acara 200m gaya bebas, 200m kuak lentang selain membantu kuartet UCSI memenangi acara 4×200m.

Pemenang emas Sukan SEA 2021 itu turut memecahkan rekod temasya dalam acara 800m gaya bebas dengan catatan masa 8:34.60s selain meraih emas dalam kategori 100m kuak lentang.

Sementara itu, gelaran Olahragawati SUKIPT 2022 pula dimenangi perenang dari Universiti Sunway, Ong Yong Qi selepas mempersembahkan aksi terbaik dengan meraih empat pingat emas individu, satu emas berpasukan dan satu perak individu

Skuad ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM) pula meraih status Pasukan Lelaki Terbaik SUKIPT 2022 manakala skuad sofbol wanita Politeknik Malaysia dinobatkan sebagai Pasukan Wanita Terbaik SUKIPT 2022.