SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyelar tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat sumpah muhabalah di Masjid Kampung Baru pada malam Ahad.
Ini kerana beliau menegaskan, ia jelas bertujuan untuk mempermainkan sentimen agama dalam kalangan penyokongnya ketika Mahkamah Persekutuan sedang bersidang bagi membicarakan kes Ahli Parlimen Pekan itu.
"Bagi saya, tidak ada sumpah mubahalah dalam kes jenayah kecuali untuk kes li'an sahaja. Mufti dan Menteri Agama yang ada perlu memberikan teguran dalam isu ini.
"Saya bimbang dengan pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib dan penyokongnya. Apakah ini wajah yang kita inginkan atau Melayu yang lebih bermaruah dan memegang nilai-nilai agama dengan sebaik-baiknya bukan kaum yang boleh dimainkan emosinya dengan sentimen perkauman dan agama yang sempit.
"Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua rakyat negara ini, buat masa sekarang berilah kepercayaan kepada Mahkamah Persekutuan pimpinan Ketua Hakim Negara untuk membuat keputusan dengan adil dan berdasarkan bukti dan saksi dalam perbicaraan.
"Jika Datuk Seri Najib didapati tidak bersalah, bebaskanlah dia dan jika dia didapati bersalah hukumlah dia seadil-adilnya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Mujahid yang juga bekas Menteri Agama mendakwa, Najib membuat tindakan terdesak itu selepas pelbagai usaha untuk menangguhkan perbicaraannya menemui kegagalan.
"Lebih dikesali lagi apabila beliau mengumpulkan penyokong beliau bersama untuk menyaksi kan sumpah beliau itu termasuk seorang penceramah agama Ustaz Kazim Alias,” katanya.
Pada malam Ahad, Najib melakukan sumpah mubahalah di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, menjelang prosiding rayuan akhir kes dihadapinya di Mahkamah Persekutuan pada Selasa.