Kes baharu Covid-19 turun 14.5 peratus minggu lepas

Iklan
Bilangan kes baharu Covid-19 menurun sebanyak 14.5 peratus kepada 22,822 kes pada Minggu Epidemiologi ke-33 dari 14 hingga 20 Ogos. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Bilangan kes baharu Covid-19 menurun sebanyak 14.5 peratus kepada 22,822 kes pada Minggu Epidemiologi ke-33 (ME 33/2022) dari 14 hingga 20 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh sama, 55 kematian direkodkan, menurun sebanyak 8.3 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Iklan
Iklan

"Bilangan kes sembuh pada ME 33/2022 juga menurun sebanyak 8.5 peratus iaitu 28,905 kes kepada 26,458 kes.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 33/2022 adalah 42,010 iaitu terdapat penurunan sebanyak enam peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurut beliau dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Iklan

Kemasukan pesakit ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk kategori pesakit 1 dan 2 pula menyaksikan penurunan sebanyak lima peratus manakala pesakit kategori 3, 4 dan 5 berkurangan sebanyak 15.4 peratus pada ME 33/2022.

Dr Noor Hisham berkata, pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pada ME33/2022 meningkat sebanyak lima peratus, katil bukan kritikal meningkat satu peratus manakala katil PKRC tiada perubahan berbanding minggu sebelumnya.

Iklan

Selain itu, peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat 0.3 peratus pada ME33/2022 berbanding ME32/2022.

Beliau berkata, kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan sedikit penurunan.

"Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.4 peratus, kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 9.9 peratus manakala kes yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 21.3 peratus,” katanya sambil menambah purata nilai RT juga menunjukkan penurunan sebanyak 3.1 peratus.

Katanya hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 101 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar 14.0 peratus manakala tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 dan kekal 1.8 peratus pada ME 33/2022. - Bernama