Keluarga Acap terkilan berita palsu

Iklan
fg
GOPENG - Keluarga Mohammad Ashraf Hassan, 29, berasa terkilan dengan tindakan pihak yang menyebar berita palsu kononnya mangsa berjaya ditemui dalam operasi pencarian, hari ini.

Abangnya, Mohd Zahiruddin Hassan, 35, berkata, berita palsu yang disebarkan menerusi laman sosial Facebook dan WhatsApp itu telah mengguris perasaan keluarga terutama ibu dan isterinya.

"Keluarga terasa hati dan kesal dengan kenyataan sebegitu sebab kami di sini berusaha siang malam dengan petugas lain untuk cari Acap.

"Mereka tak fikir perasaan kami, seolah-olah tidak bersimpati dengan keadaan yang kami semua lalui," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, dia meminta orang ramai dapat mendoakan agar usaha pencarian adiknya yang hilang sejak 13 hari lalu dipermudahkan.

Selain itu, Mohd Zahiruddin turut berterima kasih kepada Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) atas inisiatif untuk mengadakan solat hajat di masjid seluruh negeri.

"Kami menyambut baik dan menghargai usaha Jaipk yang membantu dan memahami kepayahan kami dalam mencari Acap.

"Keluarga mengucapkan terima kasih kepada mana-mana pihak berwajib dan agensi yang bersama-sama kami mengharungi saat sukar ini," katanya.