Tukang cuci maut dipercayai ditikam

Iklan
Lelaki warga asing maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan di Bukit Gedung, pada malam Ahad.

GEORGETOWN - Seorang tukang cuci warga asing maut selepas terlibat dalam pergaduhan dengan beberapa individu di kawasan Bukit Gedung di Bayan Baru, pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa yang berusia 32 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan tikaman di badan dipercayai dibunuh dalam pergaduhan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis menerima maklumat berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan warga asing di kawasan tersebut kira-kira jam 11 malam.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kami menemui seorang lelaki dengan kesan tikaman dalam keadaan terbaring.

Iklan

"Pemeriksaan mendapati, mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Kamarul Rizal berkata, susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki warga asing untuk membantu siasatan.

Iklan

"Mereka yang ditahan berusia lingkungan 31 hingga 45 tahun. Keempat-empatnya masing-masing bekerja sebagai tukang cuci, penjaga kedai runcit, operator kilang dan pekerja kontrak.

"Siasatan awal mendapati, motif kejadian dipercayai kerana dendam namun siasatan masih dijalankan. Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 28 Ogos," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.