DELIMa ditambah baik, fokus pembelajaran peribadi murid
PUTRAJAYA - Platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) kini tampil dengan versi baharu apabila menggabungkan tiga aspek penting iaitu pembelajaran yang diperibadikan, pengalaman pengguna dan analisis data.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketiga-tiga aspek itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta bermakna kepada murid.
Beliau berkata, program yang dimulakan pada Jun 2020 itu kini ditambah baik dengan pelbagai ciri baharu untuk memastikan ia lebih mesra pengguna dan memberi impak yang lebih besar kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Dalam konteks guru-guru, banyak bahan yang telah disediakan di atas platform DELIMa.
"Sebelum ini, kerangka DELIMa merupakan satu kerangka asas yang mana interphase program ini adalah untuk diwujudkan secara umum. Setiap individu dapat satu interphase yang sama tanpa mengira aplikasi yang digunakan.
"Namun, pada hari ini (Isnin), DELIMa memperkenalkan ciri baharu, antaranya pembelajaran yang diperibadikan.
"Kini setiap murid mempunyai interphase yang berbeza berdasarkan keperluan mereka dan kita juga wujudkan satu keadaan guru dan murid boleh melihat statistik yang berkaitan dalam konteks penggunaan DELIMa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) DELIMa di sini, pada Isnin.
Menurut Mohd Radzi, KPM komited melaksanakan DELIMa dengan wajah dan ciri baharu berbanding yang dihasilkan pada dua tahun lalu.
"Pada waktu itu, kita berada dalam keadaan peringkat awal pandemik Covid-19 dengan sekolah-sekolah ditutup dan kita mengambil pendekatan untuk mewujudkan satu platform bagi membolehkan guru, murid dan ibu bapa mendapat akses kepada maklumat serta pelbagai aplikasi yang boleh digunakan dalam PdP.
"Dalam tempoh dua tahun selepas itu, banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan terhadap DELIMa. Ia kini merupakan satu-satunya platform yang menggabungkan ketiga-tiga rakan strategik utama melibatkan Google, Microsoft dan Apple di bawah satu platform," ujarnya.
Beliau menambah, KPM turut menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan lebih banyak bahan berkaitan pembelajaran diletakkan di platform berkenaan.
"Yang paling penting, penambahbaikan berterusan akan dilaksanakan ke atas DELIMa supaya ia terus menjadi satu platform yang kukuh dan menjadi asas kepada PdP dalam konteks pendidikan digital," katanya.