Ikon Hero UCAM bukti kebolehpasaran graduan

Iklan
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (empat, kiri) bersama empat penerima Anugerah Ikon UCAM ketika program lawatan ke UCAM di Ayer Paabas, Alor Gajah, pada Jumaat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (empat, kiri) bersama empat penerima Anugerah Ikon UCAM ketika program lawatan ke UCAM di Ayer Paabas, Alor Gajah, pada Jumaat.


ALOR GAJAH - Empat alumni kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang berjaya dalam bidang kerjaya penternakan, pertanian dan peladangan dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Hero UCAM.

Pemilihan ikon berdasarkan kejayaan yang ditempah mereka dalam bidang diceburi serta sumbangan yang diberikan kepada insititusi pengajian itu.

Iklan
Iklan

Bagi Basyaruddin Ali, 28, berkata, syarikat Laboo Landskap Sdn Bhd menjadi saksi kejayaan yang dicapai selepas menamatkan pengajian di UCAM pada tahun 2012.

Graduan Diploma Pengurusan Peladangan ini memberitahu, bermula mengusahakan nuseri secara kecil-kecilan pada 2016 akhirnya sehingga sekarang telah membuat perkhidmatan landskap dari rumah ke rumah di 480 buah rumah sekitar di Melaka, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

Iklan

Basyaruddin


"UCAM merupakan medium terbaik dalam mendidik kita untuk bekerjasama, disiplin dan bijak menguruskan masa.

"Apa yang lebih penting membantu mengajar pelajar untuk menjadi seorang usahawan berjaya dalam bidang diceburi," katanya.

Iklan

Tambahnya, bersyukur sebagai anak pekebun kecil, banyak bantuan yang telah disalurkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sehingga kini mempunyai tanah empat ekar bagi menempatkan pelbagai pokok hiasan dan tanaman landskap.

Bagi seorang lagi anak pekebun kecil, Azri Khairi Juaher, 31, berkata, tidak akan dilupakan sumbangan RISDA melalui UCAM yang banyak membantu bukan sahaja diri sendiri malah kepada ayahnya.

Azri Khairi

Menurutnya, penganugerahan ini membuktikan anak dari golongan itu juga boleh mencipta kejayaan sekiranya bersungguh-sungguh mengaplikasi ilmu yang dipelajari di UCAM.

Jelasnya, bermula Disember 2014 bersama rakan kongsinya berjaya memasarkan hasil penternakan ayam kampung iaitu produk ayam sejuk beku di beberapa kedai sekitar Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Syarikat kami, Sebang Agrofarm Enterprise turut membekalkan anak ayam kampung Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kepada pengusaha-pengusaha ternakan di Melaka, Johor, Seremban, Selangor dan Kelantan.

"Selain itu, kami turut mengadakan kursus dan latihan kepada pengusaha ternakan yang dibantu oleh tenaga pengajar dari UCAM dan Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya.

Abdul Muhaimin menunjukkan antara hasil pertanian seperti buah-buahan yang diperolehi melalui kerjaya itu.


Graduan Diploma Sains Pertanian, Abdul Muhaimin Hussin, 34, berkata, skop pelajaran di institut pengajian itu begitu meluas dengan didedahkan mengenai bidang pertanian, penternakan dan peladangan.

Jelas Abdul Muhaimin lagi, ilmu serta kemahiran yang ditimba memberi jalan untuk dia mengusahakan pertanian buah-buahan, sayur-sayuran dan ladang sawit seluas 180 ekar di Masjid Tanah dan Alor Gajah.

"Saya juga memperkasakan lagi kerjaya saya dengan menternak kira-kira 100 ekor kambing biri-biri," katanya.

Penerima yang merupakan graduan Diploma Sains Pertanian, Mohammad Asyraf Normoley, 30, berkata, tanpa ilmu kemahiran yang dipelajari di kolej universiti itu mustahil untuk dirinya sampai ke tahap ini sehingga memiliki perniagaan sendiri yang dinamakan W.A. Agro Teguh Resources.

Mohammad Asyraf bersama seekor ayam ratu yang diternak dan dibawa pada majlis itu.


Menurut Mohammad Asyraf, menyedari ilmu yang terdapat di UCAM terlalu berharga, dia turut mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang ijazah di tempat yang sama.

Katanya, sehingga kini telah menternak kira-kira 300 ayam organik yang turut menghasilkan telur ayam organik bagi memenuhi permintaan di pasaran tempatan.

"Ilmu yang saya peroleh di UCAM terlalu banyak termasuk bagaimana cara saya menghasilkan produk pertanian sendiri.

"Alhamdulillah dengan ilmu itu, saya juga berhasrat untuk mempelbagaikan lagi ternakan bukan sahaja ayam, malah lembu dan landak di tanah seluas tiga ekar di Gemenceh, Negeri Sembilan," ujarnya pada Jumaat.

Empat Penerima Anugerah Ikon UCAM

Penerima: Basyaruddin Ali

Bidang: Landskap

Program: Diploma Pengurusan Peladangan

Alumni Tahun: 2012

Nama Syarikat: Laboo Landscapes Sdn Bhd

Aktiviti Teras Syarikat: Landscape Design



Penerima: Abdul Muhaimin Hussin

Bidang: Agromakanan dan Penternakan

Program: Diploma Sains Pertanian

Alumni Tahun: 2010

Nama Syarikat: Umaten Supply

Aktiviti Teras Syarikat: Penanaman buah buahan dan penternakan haiwan



Penerima: Mohammad Asyraf Normoley

Bidang: Penternakan

Program: Diploma Sains Pertanian

Alumni Tahun: 2019

Nama Syarikat:. W.A. Agro Teguh Resources

Aktiviti Teras Syarikat: Penternakan ayam organic



Penerima: Azri Khairi Juaher

Bidang: Penternakan

Program: Diploma Pengurusan Landskap

Alumni Tahun: 2013

Nama Syarikat: Sebang Agrofarm Enterprise

Aktiviti Teras Syarikat: Penternakan ayam kampung