Mangsa banjir kilat tertekan, mahukan pembelaan

Iklan
Suppayah (tengah) bersama penduduk setempat yang menjadi mangsa banjir melihat keadaan longkang dikatakan antara punca banjir di Taman Aman, Senai, Johor Bahru, pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Raja Raman, Mona dan Dzulfaquar Basya

KULAI - Kira-kira 300 penduduk di Taman Aman, Senai di sini mengalami kerugian besar selepas banjir kilat melanda pada Sabtu.

Menurut mereka, walaupun banjir kilat melanda hanya beberapa jam tetapi kesan ditanggung untuk tempoh masa panjang.

Iklan
Iklan

Mangsa banjir, Mona Along, 29, berkata, mereka tidak dapat membuat persediaan kerana hujan lebat dan air naik secara mendadak.

"Semua barangan persekolahan anak, barangan elektrik, makanan dan sebagainya mengalami kerosakan hingga mengakibatkan kami menanggung kerugian kira-kira RM4,000.

Iklan

"Kami hidup serba kekurangan umpama pelarian termasuk tidur di lantai di rumah kerana kesemua barangan rosak ditenggelami banjir dan ia berlaku kali kedua dalam tempoh kurang setahun," katanya selepas menerima kunjungan Ketua MIC Bahagian Kulai, S Suppayah yang meninjau keadaan paska banjir kilat di kampung berkenaan, pada Isnin.

Dia berkata, hanya penduduk yang terjejas sahaja menanggung kesan dan perit akibat bencana alam itu walaupun air surut dalam tempoh tiga jam.

Iklan

Sementara itu, orang kurang upaya (OKU), Dzulfaquar Basya Zainal Abidin, 47, tertekan dengan masalah banjir kilat yang berulang di kawasan itu.

Dia yang hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing berkata, keluarganya terpaksa mengalami kerugian RM5,000 akibat bencana berkenaan.

"Kami juga terpaksa menggunakan bekalan air yang banyak untuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur serta mungkin menanggung bil elektrik yang tinggi bulan ini.

"Difahamkan selepas kejadian September tahun lalu, segelintir mangsa hanya menerima bantuan RM150 daripada sebuah agensi, namun kali ini langsung tiada bantuan ditawarkan sehingga kini," katanya.

Sementara itu, N Raja Raman, 32, berkata, kawasan perumahan berusia lebih 30 tahun itu mula dilanda banjir kilat sejak 10 tahun lalu dan dipercayai berpunca daripada kekurangan sistem saliran.

Dakwanya, ini berikutan beberapa projek kawasan perumahan selain projek pembinaan sekolah swasta dibangunkan berhampiran kawasan perumahan itu tanpa mengubah suai sistem saliran sedia ada.

"Longkang tidak dilebar dan kerja pembersihan dilakukan seperti melepaskan batuk di tangga kerana tidak sempurna dan kembali tersumbat. Pelbagai agensi sedar Taman Aman menjadi mangsa projek pembangunan di sekitarnya namun sehingga kini tiada penyelesaian," katanya.

Dalam pada itu, Suppayah berkata, setiap mangsa banjir menanggung kerugian antara RM5,000 hingga RM10,000.

"Kolam tadahan dan takungan air dipercayai tidak berfungsi dengan baik, longkang tertutup tidak diselenggara dengan baik, laluan culvert ke Sungai Skudai bersaiz kecil.

"Penduduk bosan dengan janji kosong beberapa pihak yang mendakwa mahu menyelesaikan masalah banjir di sini namun sehingga kini tiada usaha dilakukan," katanya.