1,000 pekerja asing bekerja dalam sektor perikanan Kelantan

Iklan
Nik Zawawi menandatangani plak Majlis Perasmian Anjung Perikanan Tok Ajam sempena Program Pemantapan MyKomuniti Perikanan (MyKP), myAgroprenuer Perikanan (myAP) dan Perasmian Anjung Perikanan Tok Ajam, pada Isnin.

PASIR PUTEH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan lebih 1,000 kad bekerja kepada warga asing tanpa kewarganegaraan untuk bekerja dalam sektor perikanan di Kelantan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Dr Nik Zawawi Salleh berkata, warga asing itu melibatkan beberapa negara termasuk Vietnam, Kemboja, Indonesia dan Thailand.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kesemua mereka sudah menetap dalam negara ini dalam tempoh lama.

"Melalui kad berkenaan, mereka boleh bekerja secara sah dengan pemantauan sekali gus dapat mengelakkan jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan MyKomuniti Perikanan (MyKP), myAgroprenuer Perikanan (myAP) dan Perasmian Anjung Perikanan Tok Ajam, pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi,Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Nazri Ishak.

Nik Zawawi berkata, usaha itu juga bertujuan memastikan bank makanan negara khususnya dalam sektor perikanan dan pertanian dapat dibekalkan sepanjang masa.

Iklan

Sementara itu, Nik Zawawi memberitahu, MAFI menerusi Jabatan Perikanan negeri melepaskan 1.1 juta benih ikan pelbagai spesis di sepanjang perairan Kelantan tahun lalu bagi menggalakkan perkembangan perikanan air tawar.

"Hari ini 20,000 ekor anak ikan bernilai tinggi dilepaskan iaitu baung dan lampam jawa dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan nelayan darat," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, sektor perikanan di Kelantan dapat dikembangkan melalui penghasilan produk termasuk ikan kering dan keropok.

Kata beliau, Kelantan berpotensi besar dalam sektor perikanan laut pantai dan laut dalam dengan menyumbang sebanyak 58,279 metrik tan bekalan ikan bernilai RM525 juta membabitkan 5,500 nelayan selain sektor perikanan akuakultur melibatkan 1,100 penternak.

"Justeru, Anjung Tok Ajam akan menjadi pusat pengumpulan produk perikanan, tempat jualan dan tempat pendaratan ikan.

"Lokasi ini juga memudahkan orang ramai mendapatkan produk berasaskan perikanan khususnya dari perairan di Tok Bali, Pasir Puteh," katanya.