KUALA TERENGGANU - Gara-gara perselisihan faham hingga membawa pergaduhan berkaitan penggunaan parkir di sebuah flat di bandar raya ini lewat petang kelmarin, lima lelaki termasuk dua remaja bawah umur ditahan.
Kesemua mereka yang melibatkan dua keluarga, berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan kira-kira jam 4 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam kelmarin, ketika mangsa yang berusia 50 tahun sedang membaiki bas di hadapan flat berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya didatangi jirannya yang berusia 52 tahun dan bertindak menegurnya kerana perbuatan itu dikatakan menghalang lalu lintas.
"Mangsa sebelum ini dikatakan pernah meletakkan kenderaannya di situ sehingga menghalang lalu lintas, tetapi tegurannya itu membawa kepada pertengkaran antara mereka.
"Jiran mangsa yang tidak berpuas hati dikatakan memanggil anak lelakinya yang berusia 26 tahun manakala dua anak mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun turut serta, sehingga menyebabkan pergaduhan antara dua keluarga,” katanya.
Mangsa yang mengalami lebam pada mata kiri kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Jelas Idris, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham dan kesemua mereka direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.