PUTRAJAYA - Pertemuan beberapa pemimpin UMNO bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipercayai berakhir kira-kira jam 9.11 malam.
Pertemuan itu difahamkan berlangsung lebih satu jam.
Kenderaan rasmi Perdana Menteri dilihat meninggalkan Kompleks Seri Perdana menerusi pintu utama.
Sebelum itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kenderaan milik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilihat memasuki Kompleks Seri Perdana sekitar jam 6 petang, pada Isnin.
Pada jam 7.45 malam pula, dua buah kenderaan Toyota Velfire hitam turut tiba memasuki kompleks itu, namun tidak dapat dipastikan ia milik siapa.
Sumber mengesahkan pertemuan antara pemimpin itu berlangsung sekitar jam 8 malam ini.
Kediaman rasmi Perdana Menteri itu menjadi tumpuan pemberita sejak 5.30 petang tadi.
Sementara itu, portal melaporkan pertemuan itu dibuat selepas Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera tidak hadir pada pertemuan tergempar di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur hari ini (Isnin).