Pengusaha bas ekspres diganggu 'ulat tiket'

Iklan
Edward menunjukkan laporan yang dibuat kepada beberapa pihak berkuasa berhubung ulat tiket.

GEORGETOWN - Lebih 15 pemilik syarikat mendakwa perniagaan mereka merosot apabila diganggu ulat tiket yang berlegar di Terminal Bas Sungai Nibong di sini.

Wakilnya, Edward Lim, 39 berkata, ulat tiket tersebut bergerak secara berkumpulan dan berurusan dengan setiap penumpang yang datang ke terminal tersebut untuk membeli tiket.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ulat tiket akan mengenakan komisen RM12 hingga RM18 setiap tiket daripada pengusaha syarikat bas untuk perkhidmatan mereka mendapatkan penumpang.

"Perkara ini sudah berlarutan sejak dua tahun lalu apabila mereka meminta komisen sehingga RM18, sedangkan tiket untuk ke Kuala Lumpur hanya RM38. Jika kami kena bayar RM18, kami hanya dapat RM20 sahaja.

Iklan

"Ini menyebabkan kerugian yang amat besar yang terpaksa ditanggung. Kami pernah berbincang dengan mereka untuk memberi komisen RM7 sahaja setiap tiket tetapi mereka enggan menerimanya," katanya kepada media tadi.

Dia mendakwa, syarikat yang enggan membayar komisen seperti yang diminta akan dihalang oleh ulat tiket dari membeli tiket di kaunter syarikat bas tersebut.

Iklan

"Kami mengalami kerugian yang amat teruk kerana dalam tiga hari lalu, hanya 12 tiket sehari dapat dijual sedangkan tiket yang disediakan berjumlah lebih 1,000 tiket. Secara anggaran, setiap pengusaha bas terpaksa menanggung kerugian sehingga RM100,000 setiap bulan kerana masalah ulat tiket ini.

Terminal Bas Sungai Nibong yang didakwa dikuasai ulat tiket.

"Kami difahamkan mereka ini dilindungi oleh pihak tertentu namun tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Kami bukan mahu bermasalah dengan mana-mana pihak, kami hanya nak cari makan sahaja," katanya.

Tambahnya, dia dan pengusaha syarikat bas lain pernah membuat laporan kepada pelbagai pihak berkuasa namun tiada tindakan diambil.

"Sebanyak lima laporan dibuat iaitu empat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan satu laporan polis. Namun keadaan masih saya, tiada tindakan diambil. Kami dah tak tahu nak buat apa lagi.

"Apa yang kami fikir, mulai esok, kami tidak akan masuk ke terminal lagi untuk mengambil penumpang sebaliknya hanya menunggu penumpang di luar sahaja iaitu di tepi jalan berdekatan terminal," katanya.

Edward berkata, syarikat bas yang terlibat kini hanya bergantung kepada penumpang yang membeli tiket melalui atas talian dan di kaunter yang terletak di Komtar sahaja.

"Disebabkan kaunter di Terminal Bas Sungai Nibong dikuasai ulat tiket, maka kami hanya bergantung kepada penumpang yang membeli tiket melalui atas talian dan di Komtar sahaja.

"Selepas ini, kami akan memberitahu setiap penumpang kami supaya membeli tiket melalui atas talian dan di Komtar sahaja, jangan beli di terminal. Setakat ini, yang kami tahu, hanya dua buah syarikat bas sahaja yang sanggup membayar komisen seperti yang ditetapkan ulat tiket," katanya.

Terminal Bas Pulau Pinang adalah di bawah pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) namun usaha Sinar Harian untuk mendapatkan penjelasan daripada MBPP gagal kerana gagal dihubungi.