NEW YORK - Sungai yang menjadi sumber air kepada manusia kini terancam dek fenomena perubahan iklim yang mengakibatkan taburan hujan berkurangan selain diburukkan lagi dengan gelombang haba ekstrem yang melanda Amerika Syarikat (AS), Asia, Eropah dan Asia Barat.
Keadaan itu mengakibatkan kebanyakan sungai utama di seluruh dunia kini semakin surut dan mengering.
Kenaikan luar biasa suhu global antara faktor mengakibatkan situasi tersebut yang dikhuatiri boleh menyebabkan kemudaratan serius kepada ekosistem dan menjejaskan kebergantungan manusia terhadap sungai secara drastik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sejak akhir-akhir ini, keadaan sungai yang semakin surut telah mengakibatkan kemunculan beberapa objek termasuk tinggalan purba.
Sebagai contoh, paras air Sungai Yangtze di China mendedahkan sebuah pulau yang tenggelam di bandar Chongqing yang turut mempunyai tiga patung Buddha di atasnya yang dipercayai berusia 600 tahun.
Ketiga-tiga patung tersebut ditemui di bahagian tertinggi pulau digelar Foyeliang tersebut yang dibina ketika dinasti Ming dan Qing.
Pada masa ini, paras Sungai Yangtze dilaporkan semakin surut disebabkan kemarau dan gelombang haba yang melanda wilayah barat laut China.
Rekod taburan hujan di lembangan Yangtze adalah kira-kira 45 peratus lebih rendah berbanding paras normal sejak Julai di samping suhu tinggi diramalkan berterusan untuk tempoh sehingga minggu depan.
Stesen penyiar CCTV pada Jumaat melaporkan data rasmi menunjukkan kira-kira 66 sungai di seluruh 34 daerah di Chingqing kini semakin mengering.
Objek tinggalan perang
Kemarau yang berterusan selama beberapa minggu di seluruh Eropah turut memberi kesan kepada paras air sungai dan tasik hingga mendedahkan 'harta karun' yang sudah lama tenggelam termasuk beberapa objek berbahaya.
Di Sepanyol, ahli arkeologi teruja dengan penemuan batu prasejarah yang digelar Spanish Stonehenge atau Dolmen of Guadalperal di bahagian takungan Valdecanas di tengah wilayah Caceres setelah paras air menyusut kepada 28 peratus daripada kapasiti asal.
Difahamkan, ia pertama kali ditemui ahli arkeologi Jerman, Hugo Obermaier pada 1926, namun kawasan tersebut ditenggelami banjir setahun selepas itu di bawah projek pembangunan luar bandar ketika era pemerintahan pemimpin diktator, Francisco Franco.
Keadaan kemarau di Jerman juga telah mendedahkan hunger stones di sepanjang tebing Sungai Rhine sejak beberapa minggu lalu.
Batu yang tertera angka tahun itu menjadi simbol penderitaan rakyat ketika menghadapi kemarau sebelum ini dan ia dapat dilihat di Worms, selatan Frankfurt dan Rheindorf berhampiran Leverkusen.
Sebatang lagi sungai utama di Eropah iaitu Danube telah mencapai paras paling rendah dalam tempoh hampir seabad, sekali gus mendedahkan lebih 20 kapal perang milik Jerman yang karam ketika Perang Dunia Kedua berhampiran bandar pelabuhan Prahovo.
Kapal tersebut dikatakan antara ratusan yang terkandas di Danube pada 1944.
Sementara itu, Itali telah mengisytiharkan keadaan darurat di sekitar Sungai Po setelah penemuan bom tinggalan Perang Dunia Kedua seberat 450 kilogram di kawasan perairan cetek.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran perkampungan utara Borgo Virgilio yang terletak hampir dengan bandar Mantua telah dipindahkan ketika pakar cuba memusnahkan bom tersebut.
Sebuah lagi tinggalan kapal perang tentera Jerman yang karam pada 1943 turut ditemui di Sungai Po selepas paras air semakin surut sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, paras Sungai Tiber di Rom yang semakin mengering mendedahkan runtuhan jambatan purba yang dipercayai telah dibina oleh Maharaja Nero pada tahun 50 sebelum Masihi yang terletak di tapak jambatan moden, Vittoria Emanuele II. - Agensi