21 Ogos 22: Nak turun bersarapan dan jalan santai (pagi ini) di sebuah hotel di Ayer Kroh, Melaka di mana saya menginap, saya terserempak dengan bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob. Segak berbaju Melayu dan kelihatan masih sihat.
Setelah memberi salam, saya bertanya beliau mahu ke mana.
Beliau memberitahu beliau nak ke makam Pahlawan Negeri yang terletak di Masjid Negeri untuk menziarahi pusara Allahyarham isterinya, diikuti dengan satu majlis tahlil.
Isteri Tun Khalil, Toh Puan Zurina Kassim meninggal dunia pada 18 Ogos 2022 di Bukit Damansara di mana mereka tinggal setelah Tun Khalil bersara dua tahun lalu. Salam takziah Tun.
Moga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan dirahmati ALLAH SWT senantiasa. Amin.
Ingatan beliau masih kuat apabila beliau bertanya:"Masih dengan media ke?” Saya memberitahu yang kini saya dengan Malaysian Press Institute (MPI), sebuah pusat latihan kewartawanan di Cyberjaya.
Saya mula mengenali Tun Khalil sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Pahang apabila beliau mengundang saya berceramah kepada pegawai kerajaan negeri.
Beliau menjadi sumber berita penting sewaktu saya tengah gila menulis rencana dan analisis politik untuk akhbar Utusan Malaysia dan majalah minggu MASSA ketika beliau menjadi Setiausaha Agong UMNO merangkap Menteri Penerangan Malaysia.
Takut-takut Tun Khalil tak ingat nama saya, saya memperkenalkan nama saya.
Beliau segera menjawab ingat lagi. Orang media terkenal kan, katanya sambil menunjuk ke arah saya. Apa lagi saya pun terus ketawa.
Tun Khalil, 84, juga memberitahu semasa menjadi Yang di-Pertua Negeri beliau sempat menyiapkan ijazah Doktor Falsafahnya di UTEM.
Saya memberitahunya saya juga menyiapkan ijazah PhD setelah masuk usia warga emas di USM.
Kami sama-sama ketawa sebelum bergambar kenangan di luar hotel.
*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).