ISTANBUL - Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama lapan hari ke Turkiye bermula Isnin lepas dilihat berjaya mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan republik itu malah disifatkan sebagai yang terbaik sejak baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Julai 2019.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Lawatan negara atas jemputan Presiden Turkiye Recep Tayyib Erdogan itu cukup istimewa kerana mencerminkan kepentingan dan keakraban hubungan kedua-dua pemimpin tersebut.
"Selaku Datuk Pengelola Bijaya Diraja, saya berpandangan Lawatan Negara kali ini adalah yang terbaik berdasarkan tiga perkara iaitu semenjak hari pertama di Ankara, ibu negara Turkiye, Tuanku diberikan pengiktirafan tertinggi kerajaan Turkiye iaitu The Order Of The State daripada Presiden Erdogan, yang pertama bagi ketua negara khususnya di rantau ASEAN.
"Selain itu, di Istanbul pula Tuanku telah diberikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Marmara dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa,” katanya kepada media rasmi Bernama dan RTM bagi merumuskan Lawatan Negara itu di sini.
Ahmad Fadil menjelaskan faktor lain Lawatan Negara ke Turkiye itu yang terbaik adalah hubungan erat kedua-dua pemimpin tertinggi itu sehingga Erdogan secara peribadi meminta lawatan rasmi Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dipanjangkan menjadi lapan hari berbanding jadual asal, tujuh hari.
Selain itu, menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja keakraban hubungan itu juga adalah hasil kejayaan lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye bulan lepas yang menyaksikan kerjasama hubungan dua hala antara kedua-dua negara telah dipertingkatkan daripada kerjasama strategik ke tahap perkongsian strategik komprehensif.
"Dalam erti kata lain, ia turut membuka ruang kepada kedua-dua pemimpin negara ini mengukuhkan lagi persahabatan bukan sahaja hubungan dua hala tetapi meliputi bidang ekonomi dan perniagaan," katanya.
Lawatan Negara Seri Paduka ke Turkiye itu adalah yang pertama sejak penularan Covid-19 dan yang ketiga selepas Brunei dan Indonesia.
Lawatan Negara terakhir oleh Yang di-Pertuan Agong ke Turkiye ialah pada 1992 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-9, Almarhum Sultan Azlan Shah.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Erdogan dan Wanita Pertama Turkiye Emine Erdogan serta kerajaan Turkiye atas layanan istimewa yang diberikan kepada Seri Paduka berdua.
Selain itu, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa sukacita kerana dapat bertemu rakyat Malaysia di Republik Turkiye dalam Majlis Santapan Malam di Istanbul yang memberi peluang kepada Seri Paduka berdua mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat yang bermastautin di sini.
"Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan rasa kagum dengan pencapaian akademik pelajar di sini seperti kefasihan Nurbalqis Abdul Rashid yang diiktiraf kerajaan Turkiye sebagai penterjemah profesional bahasa Turkiye kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa bangga dengan keupayaan rakyat serta syarikat-syarikat Malaysia yang bekerja dan beroperasi di Turkiye antaranya Malaysia Airports Holding Berhad, Khazanah Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Laundrybar, Mr. DIY dan Malakat Eco Group Sdn Bhd, katanya.
Ahmad Fadil berkata, Lawatan Negara kali ini juga melambangkan kepentingan dan keakraban hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye sekali gus membawa kepada pengukuhan jalinan persahabatan kedua-dua negara yang akan menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-60 pada 2024.
Yang di-Pertuan Agong dijangka akan mengadakan Lawatan Negara yang seterusnya ke Singapura bulan depan. - Bernama