Agong, Raja Permaisuri selamat tiba di tanah air dari Turkiye

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah selamat kembali ke tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan negara selama lapan hari ke Turkiye, bermula 15 Ogos lepas. Foto Bernama

SEPANG - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat kembali ke tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan negara selama lapan hari ke Turkiye, bermula 15 Ogos lepas.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada kira-kira 10.30 pagi.

Iklan
Iklan

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Antara menteri Kabinet yang turut menyambut ketibaan baginda berdua adalah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Iklan

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sejurus ketibaan itu, Tunku Azizah dipersembah jambangan bunga oleh seorang kanak-kanak sebagai mengalu-alukan keberangkatan pulang Seri Paduka berdua ke tanah air.

Iklan

Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai, diketuai Mejar Mohd Noornazmin Abd Rahim dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das serta lagu Negaraku.

Istiadat menyambut keberangkatan tiba itu disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Seri Paduka berdua berangkat ke Turkiye pada 15 Ogos lepas atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan. - Bernama