Serangan terhadap badan kehakiman tindakan tidak beradab

Iklan
Badlishah Sham Baharin

SHAH ALAM - Perbuatan menyerang badan kehakiman dilihat sebagai satu tindakan tidak beradab dan melanggar norma amalan demokrasi yang subur sekian lama di negara ini.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya memandang serius perbuatan serangan ke atas badan kehakiman yang mengendalikan kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan
Iklan

Tegasnya, Ikram sangat menyesali perbuatan jelik seumpama itu kerana ia dipercayai dilakukan pihak yang berkepentingan termasuk ahli-ahli politik.

Jelasnya, ahli politik sepatutnya menjaga kedaulatan negara dan tidak mencampuri urusan di luar ruang lingkup tugasan serta tanggungjawab mereka.

Iklan

"Ahli politik seharusnya tidak cuba mencampuri bidang yang bukan di bawah tanggungjawab mereka, apa lagi untuk menceroboh sistem perundangan negara.

"Kemuncak kepada serangan ini melibatkan ugutan bunuh ke atas Ketua Hakim Negara. Ini merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Badlishah berkata, Ikram khuatir tindakan sesetengah pihak yang sengaja mempolitikkan kes perbicaraan dan rayuan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) akan menyebabkan imej negara tercalar khususnya di mata dunia.

Pihaknya menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan segera bukan sahaja terhadap pihak yang mengugut Ketua Hakim Negara malah terhadap mereka yang sengaja mempertikaikan keputusan mahkamah dan sistem perundangan negara.

"Ikram ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para hakim yang telah dan sedang menjalankan tugas mereka ‘without fear or favour’.

"Ini penting bagi memastikan badan kehakiman kekal sebagai benteng utuh negara memelihara keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Semoga sistem kehakiman kita tidak sekali-kali dicabul oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi mahupun daripada ejen perosak negara," katanya.