PUTRAJAYA – Selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah muncul secara tiba-tiba untuk membantu prosiding rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, sekali lagi dikejutkan dengan kehadiran peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Firoz pada awalnya berada di galeri awam memasuki ruang mahkamah dan duduk di belakang Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama bekas Perdana Menteri itu.
"Saya diminta hadir untuk membantu Hisyam berhujah dan memohon supaya prosiding ditangguhkan selepas rehat tengah hari ini,” katanya.
Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram bangun membantah.
Menurutnya, semakin lama semakin ramai yang masuk ke mahkamah dalam prosiding ini.
"Yang Amat Arif, ini bukannya sarkas, orang boleh datang dan pergi,” katanya.
Tengku Maimun kemudian menolak permohonan Firoz dan menyatakan mahkamah akan membuat keputusan selepas mahkamah rehat tengah hari.
Menurut beliau, Hisyam sudah mengemukakan hujahan lengkap dan menyeluruh maka mahkamah berpendapat bahawa hujahank lanjut tidak diperlukan.
Prosiding ditangguhkan untuk keputusan notis usul pada jam 2 petang ini.