KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ragut yang tular melibatkan seorang wanita di tepi jalan Lorong Kuda Persiaran KLCC, Jalan Ampang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dalam kejadian pada jam 9.38 malam, kedua-dua suspek yang menunggang sebuah motosikal meragut seorang wanita, sebelum mangsa diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
"Orang awam turut menahan kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun itu, sebelum diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Noor Dellhan berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha, dua topi keledar dan serangkai kunci motosikal.
"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan berkenaan kejadian tersebut," katanya.
Beliau berkata, hasil semakan lanjut mendapati salah seorang suspek warga asing.
"Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat bagi membantu siasatan," katanya.
Noor Dellhan berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti menyalahi undang- undang dengan menghubungi MERS 999, IPD Dang Wangi di talian 03-26002222, hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Pada Isnin, tular video berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan seorang wanita berbaju kelawar diragut dua lelaki.