Cungkil potensi usahawan dalam diri asnaf

Iklan



Iklan
Iklan
Iklan
Iklan



Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur pacu kelestarian komuniti asnaf dan B40.



KUALA LUMPUR – Seramai 50 dari komuniti asnaf dan golongan B40 di Lembah Klang menyertai Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur edisi kedua yang bertujuan menyediakan peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan melalui platform foodpanda Malaysia bagi menjana pendapatan yang konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic), Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata,"Kami menyedari akan kepentingan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur, di mana ia menyalurkan bantuan geran motosikal dan peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan foodpanda Malaysia kepada para peserta yang terdiri daripada komuniti asnaf dan golongan B40, di samping memberi latihan kemahiran keusahawanan demi meningkatkan taraf hidup mereka. Ini adalah sejajar dengan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) Bank Negara Malaysia (BNM), di mana matlamat yang ingin dicapai membawa kepada penjanaan impak positif ke arah ekonomi masyarakat yang lebih mampan dan berdaya saing.”

Mengulas lanjut, Ahmad Shahriman berkata CIMB Islamic dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) menyumbangkan dana wakaf RM300,000 sebagai dana pemula bagi program edisi kedua ini, melalui pengaplikasian konsep wakaf bertempoh yang terikat selama 12 bulan.

"Peserta akan dilatih dan seterusnya memulakan pekerjaan sebagai penghantar makanan bersama foodpanda Malaysia selama 12 bulan dengan coaching dan pemantauan berterusan,” ujar beliau pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur antara CIMB Islamic, YWM dan Yayasan Belia Malaysia (YBM) di Menara CIMB pada 17 Ogos 2022.

Dokumen berkenaan ditandatangani oleh Ahmad Shahriman, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof Dr Amir Shaharuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustapa Othman.

Ujar beliau, setelah tamat tempoh penempatan kerja satu tahun bersama foodpanda Malaysia, peserta akan diberikan pilihan untuk meneruskan pekerjaan mereka dengan foodpanda Malaysia ataupun menjadi usahawan sepenuhnya.

Dari kiri: Prof Amir, Ahmad Shahriman dan Mustapa pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur Antara CIMB Islamic Bank, Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Belia Malaysia.


"Setelah tamat tempoh 12 bulan, motosikal wakaf yang digunakan oleh peserta akan dihibahkan kepada mereka dengan pilihan sama ada untuk terus mencari rezeki bersama foodpanda Malaysia selepas tamat program atau memulakan perniagaan sendiri dengan ilmu keusahawanan yang telah diberikan.

"Kepada yang berminat untuk berniaga, kami akan menyenaraikan mereka ke dalam program lanjutan seperti CIMB MicroBiz Ready atau Program Keusahawanan Taylor’s-CIMB Islamic, serta peluang untuk memohon modal perniagaan melalui dana Kemudahan Perusahaan Mikro yang disediakan Bank Negara Malaysia," katanya.

CIMB Islamic kekal komited untuk terus menyokong inisiatif iTEKAD anjuran Bank Negara Malaysia bersama-sama rakan program dalam usaha untuk memperkasakan ekonomi yang lebih mampan untuk kesemua peserta, sejajar dengan proposisi jenama baharu CIMB Group, ‘Melangkah Ke Hadapan Bersama’, di samping menyemarakkan semangat kemerdekaan menjelang Hari Kemerdekaan yang bakal tiba.

Difahamkan seramai 40 peserta menyertai edisi pertama program ini tahun lepas.

Datuk Haji Ahmad Marzuk (tiga dari kiri) bergambar bersama Ahmad Shahriman (tiga kanan); Prof Amir (kiri); Datuk Mustapa (kanan) selepas sesi pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur Antara CIMB Islamic, Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Belia Malaysia di Dewan Md Nor, Menara CIMB pada Rabu lalu.


Ahmad Shahriman berkata, para peserta akan melalui proses temu duga, diikuti dengan sesi latihan secara bermukim selama empat hari yang akan menampilkan pelbagai aspek latihan keusahawanan seperti pengurusan kewangan, kemahiran teknikal dan kesejahteraan emosi.

"Para peserta di peringkat akhir akan dinilai dalam sesi pembentangan kertas kerja atau pitching, di mana mereka harus membentangkan idea perniagaan mereka di hadapan barisan panel sebelum menerima geran motosikal dan diterima sebagai penghantar makanan di bawah platform foodpanda Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, YBM akan bertindak selaku penyelaras program yang mengurus pembelian dan penyerahan motosikal, serta kebajikan peserta sertamenjalin kerjasama rapat dengan Taylor's Community selaku penyedia program latihan kemahiran keusahawanan buat peserta dan juga foodpanda Malaysia

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary dalam ucapannya berkata, pihaknya meletakkan keutamaan untuk menggerakkan produk-produk wakaf yang dapat memberikan manfaat kepada Keluarga Malaysia khususnya dalam menjaga kebajikan masyarakat yang memerlukan.

Bantu peroleh pendapatan bulanan

Sementara itu salah seorang peserta, Siti Fauziah Othman, 42, berkata, dengan adanya kemudahan motosikal yang diperoleh menerusi program berkenaan ia dapat membantu menghantar pelbagai tempahan kepada pelanggannya.

SITI FAUZIAH


Siti Fauziah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane berkata, di samping membuat penghantaran makanan menerusi platform foodpanda, beliau juga dapat mengembangkan bakat menjahit secara kecil-kecilan di rumah.

"Dengana membuat tempahan baju wanita seperti kurung, kebaya, alhamdulilah dapatlah saya tambah pendapatan keluarga,” katanya yang mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

NORDIN


Seorang lagi peserta dari Subang Bestari, Nordin Karmi, 41, bersyukur kerana program berkenaan membantunya memperolehi pendapatan sehingga RM3,000 sebulan menjadi penghantar makanan foodpanda.

"Memang saya tidak ada pekerjaan tetap sejak pandemik Covid-19 dua tahun lalu, jadi dengan adanya program seperti ini ia bukan saja dapat bantu saya menjana pendapatan malahan ada juga peluang untuk meneroka bisnes dan keusahawanan,” katanya.

Jelas Nordin, Program Keusahawanan CIMB Islamic-Taylors telah membuka idea baharu menerusi kelas secara maya yang diadakan setiap bulan,” katanya.