KUANTAN - Polis Pahang sudah bersedia dengan semua keperluan penugasan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hampir.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, persiapan untuk tujuan itu sudah lama dilakukan bagi memastikan semua pegawai dan anggota bersedia untuk ditempatkan di lapangan.
Menurutnya, beberapa aspek sedang diperkemaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU akan datang.
"Sesi latihan dan taklimat akan terus dijalankan termasuk pendekatan baharu yang akan diguna pakai.
"PRU15 mungkin berbeza berbanding PRU14 justeru pendekatan baharu perlu diberi perhatian termasuk keperluan penambahan kekuatan keanggotaan yang akan bertugas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah dan Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang, Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi dan Ketua Polis Daerah Raub di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Ramli berkata, Polis Pahang kini bersedia dari segi fizikal dan mental untuk PRU15 termasuk cabaran penugasan di kawasan terpencil yang mencabar dari segi geografinya.
"Pahang mempunyai lebih 5,000 pegawai dan anggota yang mencukupi untuk ditempatkan di 11 daerah seluruh Pahang pada PRU15.
"Sekiranya ada keperluan untuk menambah bilangan anggota, ia akan dipertimbangkan melalui tindakan sewajarnya," katanya.
Tambah beliau, dijangkakan tiada isu besar di Pahang mengambil kira situasi pada pilihan raya sebelum ini yang berjalan lancar tanpa kekecohan namun pihaknya perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
Ramli sebelum itu hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang antara Datuk Mohd Yusri Hassan Basri kepada Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff.
Abdul Razak yang sebelum ini bertugas sebagai Komander Komando 69 menggantikan Mohd Yusri yang dilantik sebagai Ketua Polis Perak.
Pada majlis itu, turut berlangsung majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Pahang dan Ketua Polis Daerah Raub.