PASIR MAS - Seorang mekanik maut akibat terseret oleh sebuah kereta apabila terjatuh ke laluan bertentangan dari motosikal yang ditunggang di hadapan sebuah stesen minyak di Tendong, di sini pagi Selasa.
Mangsa, Muhammad Yazid Zakaria, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan jam 2 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, polis menerima maklumat daripada Gerakan Pasir Mas berkaitan satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di hadapan Caltex Tendong, Pasir Mas.
Katanya, seorang buruh lelaki yang berusia 45 tahun juga pemandu kereta yang terbabit dengan kemalangan itu bagaimanapun tidak cedera.
"Siasatan awal mendapati pemandu kereta tersebut memandu dari arah Wakaf Bharu menghala ke Pasir Mas.
"Sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai terjatuh lalu memasuki laluan bertentangan. Oleh sebab jarak yang dekat, pemandu tersebut tidak dapat mengelak dan terseret mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemeriksaan di lokasi itu mendapati keadaan jalan basah dan gelap kerana tidak berlampu.
"Motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian sebelah kanan, manakala kereta buruh tersebut tercabut penghadang di bahagian hadapan,” katanya.
Mohd Nasaruddin berkata, punca kemalangan disebabkan oleh penunggang motosikal yang hilang kawalan dan terjatuh lalu masuk ke laluan bertentangan serta diseret oleh kereta sehingga menyebabkan kematian mangsa.
"Bedah siasat akan dijalankan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.