KUALA LUMPUR - Lebih 30 cadangan telah diutarakan dalam Majlis Konsultasi Bajet 2023 hari ini yang menyentuh aspek rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan, selaras dengan tema ‘Memperkukuh Pemulihan dan Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.’
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), antara cadangan itu adalah memperkukuh program untuk meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah, menyediakan peluang dan bantuan kepada golongan B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) serta meningkatkan pembangunan modal insan dan tenaga mahir.
"Antara topik utama termasuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, pembangunan industri pertanian, penjagaan kesihatan awam, pelaksanaan subsidi bersasar dan meningkatkan kerjasama sektor awam, swasta dan sosial ke arah mensejahterakan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Konsultasi Bajet 2023 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di MOF merangkumi dua sesi yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Ia dihadiri hampir 300 peserta daripada sektor swasta, pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil yang turut mencadangkan langkah sesuai untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2023 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Menurut MOF, turut dikemukakan pada majlis itu adalah cadangan untuk meningkatkan peranan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan bagi membangunkan vendor khususnya usahawan muda, wanita, perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta bajet lebih inklusif terutamanya melibatkan golongan rentan, wanita dan OKU.
MOF berkata, selain itu terdapat keperluan untuk menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dari segi tadbir urus, pembendungan rasuah dan perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, bagi mempercepat pencapaian Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030, tumpuan dan kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar dan iklim, pengurusan bencana serta sekuriti makanan, katanya.
Menurutnya, proses awal Konsultasi Bajet 2023 telah bermula sejak Jun 2022 dengan menjemput pihak berkepentingan untuk mengemukakan memorandum bajet yang menjurus kepada isu dan cadangan bagi Bajet 2023.
MOF telah menerima sebanyak 242 memorandum dengan beberapa cadangan penyelesaian.
Menurut kenyataan itu, perbincangan hari ini merupakan titik tolak kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif yang bakal diadakan dalam masa terdekat untuk memperhalusi input Bajet 2023.
Katanya, kementerian akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih.
"Sebagai pelengkap kepada Majlis Konsultasi Bajet hari ini, MOF turut melancarkan Portal Cadangan Bajet 2023 sebagai antara usaha untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus,” katanya.
Menurutnya seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan dengan melayari laman web MOF di pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/. - Bernama