KUALA LUMPUR - Suasana kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta di sini tenang selepas keputusan rayuan akhir berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Tinjauan Sinar Harian pada jam 5 petang mendapati keadaan sunyi dan tenang berhampiran rumahnya.
Tiada pergerakan anggota polis berhampiran rumahnya kecuali anggota polis yang bertugas di pondok pengawal polis di rumahnya.
Keadaan pada Selasa berbeza dengan situasi ketika siasatan kes itu terhadap bekas Perdana Menteri itu pada 2018.
Ketika itu, jalan berhampiran rumahnya dipenuhi oleh wartawan tempatan dan asing menunggu untuk melaporkan perkembangan terkini.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.
Susulan keputusan itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.