Bojan ramal tentangan sengit PSM Makassar

Iklan
Bojan - Foto FB KL City FC

PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak meramalkan skuad kendaliannya bakal berdepan tentangan sengit daripada PSM Makassar pada aksi final Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Menurutnya, biarpun pernah mengendalikan PSM Makassar pada musim 2020 lalu dan mengenali 90 peratus pemain daripada pasukan berkenaan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang rendah terhadap keupayaan lawan.

Iklan
Iklan

Malah katanya, untuk aksi final kali ni keadaannya berbeza dan semua pemain perlu bersedia berdepan tentangan sengit daripada lawan kali ini.

"Saya memang ‘mengenali’ pasukan ini dan saya tahu 90 peratus daripada pemain mereka; tetapi saya tidak akan terkejut sekiranya perlawanan ini akan berlangsung dengan sengit kerana kedua-dua pasukan pastinya telah bekerja keras untuk beraksi di pentas final.

Iklan

"Kami juga pernah beraksi dalam Kumpulan H bagi saingan di peringkat kumpulan sebelum ini...namun kali ini suasananya pasti berbeza kerana kami akan bertemu di pentas final pula dan pastinya kedua-dua pasukan bakal tampil dengan corak taktikal tersendiri yang terhasil daripada kerja keras selama ini.

"Apa pun, yang paling penting, tujuan utama kita adalah untuk memenangi perlawanan ini dan layak ke peringkat seterusnya selepas ini,” katanya pada Selasa.

Iklan
Pemain KL City FC, Paulo Josue cuba melepasi kawalan pertahanan Viettel FC pada aksi kalah mati 10 Ogos lalu. -Foto FB KL City FC

Untuk rekod, KL City FC mara ke final Zon ASEAN setelah menewaskan kelab Vietnam, Viettel FC 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan kalah mati di Stadium di Stadium Thong Nhat, 10 Ogos, lalu.

Berdasarkan format pertandingan, sekiranya KL City FC berjaya menewaskan PSM Makassar pada aksi final bagi peringkat Zon ASEAN Rabu ini, pasukan berkenaan bakal berdepan kelab India, Mohun Bagan di peringkat separuh akhir antara Zon.

Jika skuad kendalian Bojan Hodak itu berjaya menewaskan Mohun Bagan, mereka bakal beraksi pula bagi final antara Zon sebelum beraksi di perlawanan akhir dan berdepan dengan pasukan dari Asia Barat.

Mengulas mengenai persiapan KL City FC, Bojan menegaskan pihaknya lega dengan kehadiran semula pemain sayap, J Partiban yang dilihat bakal membantu memantapkan lagi jentera tengah pasukan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pemain tengah bertahan, Kenny Pallraj masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan hampir pasti tidak akan beraksi.

"Secara keseluruhannya, kesemua pemain disahkan cergas untuk beraksi kecuali Kenny (Pallraj), Muhammad Faudzi, Fakrul Aiman Sidid.

"Bagaimanapun, saya mengingatkan pemain bahawa PSM Makassar memiliki ramai pemain yang memiliki kelajuan tersendiri dan mereka ini ternyata mampu menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan.

"Oleh itu, kesemua pemain perlu memberikan aksi terbaik masing-masing dan tidak mempersia-siakan di depan pintu gol lawan,” ujarnya.