KAJANG - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Penjara Kajang pada petang Selasa.
Najib yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam itu diiringi kenderaan polis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah membuat kawalan dan pemantauan di Penjara Kajang.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.
Susulan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.