Dokumen keputusan rayuan Najib tular, Pemuda UMNO lapor polis

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Pemuda UMNO akan membuat laporan polis berhubung penularan dokumen yang dikatakan kertas keputusan penghakiman kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, wujud agenda jahat untuk memperkotak-katikkan prinsip keadilan ekoran penularan dokumen tersebut.

Iklan
Iklan

"Amat memeranjatkan apabila tular satu dokumen yang dikatakan satu kertas keputusan penghakiman hakim-hakim Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Kes SRC Datuk Seri Najib Razak walaupun prosiding mahkamah masih berjalan.

"Dokumen ini mula dimuat naik di laman web Malaysia Today dan tular dalam banyak grup WhatsApp dan media-media sosial.

Iklan

"Persoalannya apakah dokumen ini benar dan asli? Apakah ada agenda jahat untuk memperkotak-katikkan prinsip keadilan dalam negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Ekoran penularan dokumen tersebut, Asyraf Wajdi turut menuntut pihak mahkamah tampil menafikan segera perkara itu bagi menjaga imej institusi kehakiman.

Iklan

Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.