SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan dakwaan bahawa pintu air pasang surut lewat dibuka telah menyebabkan banjir kilat berlaku di kawasan rendah di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini Sabtu lalu.
Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim ketika ditemui menegaskan, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.
Beliau berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku Sabtu lalu di beberapa kawasan rendah di Taman Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam adalah disebabkan oleh faktor hujan yang sangat lebat.
Menurut Izham, hujan lebat secara berterusan dalam tempoh satu jam menyebabkan sistem perparitan dalaman tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang banyak dan melimpah keluar.
"Dakwaan bahawa pintu air pasang surut lewat dibuka dan menyebabkan banjir (kilat) adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa.
Pada Sabtu, hujan bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 8 malam mencatatkan bacaan hujan terkumpul sebanyak 92.5mm di mana jumlah hujan sebanyak 59.5mm dalam tempoh satu jam adalah dikategorikan sangat lebat.
Rekod curahan hujan ini adalah berdasarkan laporan Stesen Hujan Taman Sri Muda sekaligus keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan rendah di sekitar Taman Sri Muda.
Izham berkata, pintu air pasang surut di Taman Sri Muda dioperasikan dalam keadaan 'tutup' semasa curahan hujan berlaku memandangkan paras air Sungai Rasau melebihi paras air saliran parit utama Taman Sri Muda dan juga paras air Sungai Klang yang tinggi akibat pengaruh air laut pasang.
"Aliran air dari saliran parit utama Taman Sri Muda dilencongkan ke kolam takungan banjir dan pada tempoh tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengaktifkan pengoperasian kesemua pam yang ada secara automatik bermula jam 1 petang.
"Semua aset pam banjir iaitu empat unit pam kekal utama dengan kapasiti 8,000 liter per saat di rumah pam kolam takungan banjir dan empat unit pam bergerak berkapasiti 960 liter per saat di pintu air pasang surut bagi menurunkan paras air di dalam saliran parit utama di Taman Sri Muda," katanya.
Beliau berkata, pihak JPS Negeri Selangor telah melaksanakan operasi tebatan banjir melibatkan pengoperasian pintu air pasang surut dan sistem pam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Izham sehubungan itu menggesa semua pihak termasuk media agar mendapatkan maklumat tepat dalam menyampaikan maklumat bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan kepada masyarakat dan boleh menyebabkan situasi cemas di kalangan penduduk.