Cardinals Racing mengorak langkah bersama Yamaha Y16ZR

Iklan
Cardinals Racing Malaysia semakin menempa nama dalam arena permotoran tanah air.

KEJAYAAN perlumbaan 'One make race' Yamalube Yamaha Y16ZR Masterclass ketika saingan pembuka musim kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang hujung bulan lalu, memberi nafas baharu buat syarikat pengeluar barangan komponen motosikal, Cardinals Racing Malaysia untuk memperluaskan kerjasama dengan Yamaha Malaysia.

Penglibatan 30 pasukan dengan 30 pelumba muda menggunakan jentera Yamaha Y16ZR yang dilancarkan pada Mac lalu dengan dipacu penggunaan produk dan komponen berasaskan prestasi perlumbaan Cardinals Racing membuka potensi untuk acara berkenaan kekal dianjurkan sehingga musim depan.

Iklan
Iklan

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Cardinals Racing Malaysia, KF Wong selepas mendapatkan maklum balas yang positif daripada pasukan dan pelumba muda yang terlibat sepanjang dua hari perlumbaan kategori baharu itu di MSBK musim ini.

"Tujuannya adalah satu iaitu kita hendak membangunkan dan menguji produk yang berkualiti tinggi dalam perlumbaan," kata KF Wong yang ditemui pada penganjuran pertama Y16ZR Masterclass di Sepang baru-baru ini.

Iklan

Menurut Wong, ini kali pertama penglibatan penuh Cardinals Racing dengan kerjasama padu Hong Leong Yamaha Malaysia dan ia bukan sahaja untuk membangunkan produk-produk baharu untuk perlumbaan motosikal tetapi juga untuk mengasah bakat pelumba muda daripada pasukan-pasukan pengedar Yamaha di Malaysia agar dapat diketengahkan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.

Untuk rekod perlumbaan 'One make race' Yamalube Yamaha Y16ZR Masterclass bersempena penganjuran MSBK musim ini, ia akan dijalankan dalam tiga pusingan iaitu pada bulan Julai, September dan November 2022 di Litar Antarabangsa Sepang.

Iklan

Tambah Wong, usaha syarikatnya untuk membangunkan produk dan komponen berasaskan perlumbaan motosikal sudah dijalankan sejak 2016 lagi dan Wong yang juga bekas pelumba Cub Prix 1999-2005 mahu melihat ia berjaya menembusi pasaran antarabangsa kelak.

"Sebelum ini, banyak kita uji kita punya produk di Kejohanan Asia Road Racing (ARRC) dan kita juga mempunyai pasukan sendiri iaitu Cardinals Racing Team yang bersaing dalam kategori UB150.

"Di Cub Prix pula kita ada kerjasama Yamaha menerusi perlumbaan jentera Y16ZR, ini menjadi satu langkah ke hadapan lagi untuk syarikat kami berkembang," katanya.

Malah, pelumba muda yang mewakili pasukan-pasukan terbabit juga cukup teruja dengan penganjuran perlumbaan Yamaha Y16ZR ini kerana ia menawarkan perlumbaan yang berbeza daripada siri-siri perlumbaan yang lain.

"Jentera Y16ZR ini cukup padu, spesifikasi semua pasukan adalah sama, cuma yang membezakan adalah penalaan enjin dan strategi masa berlumba, masing-masing tiada perbezaan yang ketara, saingan memang cukup hebat, ” kata Muhd Adie Putra Sukarno, juara pusingan pertama daripada pasukan TME Motorsports.

"Saya harap saingan ini kekal musim depan kerana persaingannya cukup menarik, tahap jentera semua sama, persaingan semua pelumba seimbang dan lebih terbuka, saya sudah tidak sabar untuk pusingan kedua pada September nanti," kata Muhd Fareez Afeez A Rahman, juara pusingan kedua daripada pasukan SINGDECA Racing.

Ramai pelumba berpendapat bahawa produk Cardinals Racing memberi kelainan terhadap jentera yang mereka tunggang dan ia antara yang terbaik dan memiliki kelebihan tersendiri terhadap prestasi jentera.